Mana laporan tahunan KTMB sejak 2014?

 

 Dr Dzulkefly AhmadKeretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Kementerian Pengangkutan sekali lagi didesak mendedahkan segera Laporan Tahunan KTMB sejak tahun 2014.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kebimbangan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan KTMB semakin dirasakan umum.

"Segera dedahkan laporan tahunan KTMB dan jangan berdolak-dalih lagi. Ke mana perginya RM11.69 bilion wang rakyat dibelanjakan?

"Penting untuk kerajaan Najib tidak syok sendiri dan kembali kepada realiti kesusahan yang dihadapi rakyat pada hari ini," ujarnya.

Pada 12 April lalu, Dr Dzulkefly telah mempersoalkan ketiadaan laporan tahunan KTMB bagi tahun 2013 hingga 2016 dalam semakannya di laman web rasmi syarikat milik kerajaan (GLC) itu.

Mengulas kedudukan Malaysia di tangga ke-11 terbaik dunia dalam infrastruktur pengangkutan awam dan swasta mengikut World Economic Forum (WEF), beliau berkata, kajian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula adalah sebaliknya.

"SPAD dalam kajian terkini mengenai tahap kepuasan pengguna pengangkutan awam menunjukkan 48 peratus pengguna pengangkutan awam tidak berhasrat menggunakan pengangkutan awam pada masa hadapan. 

"Najib juga perlu akui bahawa kepuasan pengguna terhadap pengangkutan awam juga telah merudum sebanyak 13.95 peratus berbanding tahun sebelumnya," tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, majoriti rakyat merasakan kos pengangkutan adalah mahal, tidak menepati masa mengikut jadual dipaparkan serta tidak bersepadu yang secara jelas mencerminkan kegagalan pada tahap perancangan.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly menggesa supaya kerajaan mengembalikan kos pengangkutan yang berpatutan mengikut tahap bebanan ekonomi rakyat.

"Komponen pengangkutan adalah penting dalam petunjuk Indeks Harga Pengguna (CPI) yang terkini melonjak ke paras 5.1 peratus pada bulan Mac lalu.

"Ini tertinggi sejak 2008 sejak yang mencatat CPI ke tahap 5.8 peratus," tambahnya lagi.

Untuk rekod, sebanyak RM7.4 juta jumlah pendapatan terkumpul direkodkan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Walau bagaimanapun, KTMB telah mencatat kerugian terkumpul sebanyak RM2.5 bilion dalam tempoh tersebut antaranya disebabkan kadar tambang yang rendah selain kos operasi yang tinggi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: