Rakyat marhaen terpaksa cari rezeki di bawah talian voltan tinggi

Peniaga berhadapan risiko keselamatan apabila terpaksa berniaga di bawah talian voltan tinggi elektrik

Peniaga-peniaga serta pengunjung di pasar malam Kubang Kerian menghadapi risiko yang tinggi kerana berniaga di bawah talian voltan tinggi.

Dalam tinjauan Datuk Husam bersama jawatankuasa parti Amanah kawasan Kubang Kerian petang semalam mendapati satu papan tanda TNB terpampang memberi amaran yang berbunyi 'BAHAYA! Talian Voltan Tinggi 33kV'.

"Anehnya, bersebelahan gerai-gerai, terdapat ruang kosong yang lebih selamat yang digunakan sebagai tapak letak kereta," katanya.

Menurut Husam, pernah ada peniaga mencadangkan tapak letak kereta itu dijadikan tapak gerai.

"Khabarnya, peniaga berkenaan digugurkan dari senarai," katanya.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) difahamkan telah menulis surat kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) meminta supaya tapak pasar malam dipindahkan ke kawasan lain.

"Kabel TNB itu tidak sampai 20 kaki dari paras bumi sementara gerai-gerai pula berada dalam jarak kurang dari 20 meter dari laluan kabel.

"Ia memang membahayakan," katanya.

Di bulan Ramadhan ini, setiap hari ramai pengunjung singgah membeli belah.

"Peniaga atau pengunjung mungkin tidak menyedari bahaya ini.

"Tambah lagi, tapaknya pula, beralaskan batu kerikil tanpa tar, menyebabkan keadaan berdebu pada hari panas.

"Sudah setahun ianya berlalu semenjak Ramadhan lalu," katanya.

Datuk Husam bersama AJK Amanah meninjau pasar malam Kubang Kerian

Selain dari ancaman risiko bahaya voltan elektrik tinggi, tapak gerai pasar malam tersebut tiada kemudahan asas seperti tempat solat.

" Baru-baru ini, Exco Kerajaan Negeri 'bising' dengan dasar 'berhenti untuk solat maghrib' yang digambarkan hebat dan begitu Islamiknya Kerajaan Kelantan.

"Tiada surau atau tempat bersolat disediakan oleh MPKB BRI atau tempat berwuduk di sini.

"Di mana mereka bersolat," soal beliau.

Peniaga hanya menumpang solat di kaki lima Pasti yang ada berhampiran.

Hanya dua paip wujud di luar pagar Pasti untuk Muslimin.

Satu paip untuk Muslimat, tanpa sebarang dinding atau pelindung.

"Mungkin Adun Demit yang juga Exco Kerajaan yang kebetulan 'Muslimat' mungkin terperanjat jika beliau singgah untuk berwuduk di sini.

"Tadi apakan daya, beliau belum berkesempatan," katanya.

Kaki lima yg dijadikan 'surau' hanya memuat tiga baris, jika berimam.

Empat atau lima orang satu baris.

Tanpa sebarang sejadah atau alas, tanpa kipas walaupun hangat.

Wanita bersolat sebelahan tanpa penghadang, kecuali sebuah meja di depan.

"Tiada azan ketika tiba waktu.

"Tiada war war untuk berhenti solat.

"Jam 7.40 malam, ketika kami bergerak meninggalkan pasar selepas solat bersama di sini, sebahagian peniaga masih meneruskan aktiviti dan belum menghentikan perniagaan untuk solat," katanya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel