Serantau Muslim teruskan misi bantuan kemanusiaan Rohingya

Pengerusi Serantau Muslim Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berjaya menyampaikan pek makanan kepada 1000 keluarga, membina 25 wakaf telaga air dan membina 5 buah rumah perlindungan hasil sumbangan orang ramai di perkampungan Rohingya di IDP Kem di Sittwe yang musnah akibat taufan Mora baru baru ini.

Misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan Serantau Muslim bersempena Ramadhan telah berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Jun itu turut mendapat kerjasama Mountain Of Mercy yang berpangkalan di United Kingdom.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob; Setiausaha, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor serta Presiden Mountain Of Mercy, Mohamed Zeyadh Hafiz telah berjaya sampai ke wilayah bergolak itu bagi menjayakan misi penyaluran bantuan itu.

Raja Iskandar berkata, misi ini dilakukan atas dasar tanggungjawab dan semangat kemanusiaan untuk membantu etnik Rohingya yang ditindas oleh pemerintahnya sendiri.

Menurutnya, misi bantuan kecemasan ini adalah susulan taufan Mora yang melanda perkampungan Rohingya di sini pada awal Ramadhan lalu.

Taufan Mora itu telah meranapkan hampir 70% Kem IDP yang menyaksikan sebanyak 30,000 buah keluarga terjejas kerana rumah yang didiami mereka musnah sama sekali.

Tambah beliau, bantuan kecemasan membina semula pusat perlindungan amat diperlukan dalam kadar yang segera bagi mereka menumpang teduh meneruskan sisa baki kehidupan yang masih panjang.

"Setiap pusat perlindungan boleh menampung 8 buah keluarga, biarpun ia kelihatan sangat dhaif tetapi ia sangat-sangat diharapkan oleh umat Islam disana.

"Sekurang kurangnya sebanyak 700 pusat perlindungan diperlukan menjelang Aidilfitri ini dengan kos pembinaan sebuah pusat perlindungan yang boleh didiami oleh 8 buah keluarga setiap satu hanyalah sebanyak RM40,000.

Bagi anda yang ingin menyumbangkan bantuan kepada etnik Rohingya melalui Serantu Muslim  boleh layari www.untukmurohingya.com atau hubungi no telefon bimbit  +6010 8659407.

 

Serantau Muslim bersama penerima bantuan

Serantau Muslim  bina rumah penduduk hasil bantuan derma rakyat Malaysia.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel