Skandal Carbon Credit: Buka peluang Harapan tawan Kelantan

Logo Harapan

Pakatan Harapan (Harapan) dijangka mampu menawan Kelantan dengan majoriti tipis dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ekoran pelbagai isu membabitkan kerajaan negeri sebelum ini dan terkini berkaitan projek Carbon Credit, kata Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor.

"Kita (Harapan) boleh ambil ahli kerajaan negeri dengan majoriti tipis. Ini kerana beberapa isu yang ada sekarang ini dan terkini berkaitan carbon credit menunjukkan pimpinan Pas yang memerintah di Kelantan tidak tahu apa benda.

"Bagi kerajaan negeri yang penting mereka tengok pitih (duit) saja... pitih datang dari mana tak tahu lagi.

"Mereka fikir boleh guna hutan di Kelantan untuk dijadikan bahan dapatkan projek carbon credit di bawah PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) tetapi syarikat yang terlibat menguruskan projek itu pula masih di bawah pengawasan BNM (Bank Negara Malaysia)," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Kamarudin Md NorKamarudin  (Gambar kiri) yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi itu mendakwa, kerajaan negeri hanya memikirkan soal keuntungan semata dengan menyerahkan projek tersebut kepada sebuah syarikat swasta.

"Persoalannya mengapa bagi  tender kepada sebuah syarikat swasta? Sepatutnya kerajaan negeri Kelantan yang uruskan projek tersebut.

"Sebaliknya syarikat itu pula mengutip dana daripada orang ramai, itu sudah menyeleweng daripada tujuan asal.

"Apa yang rakyat memahami dalam isu ini ialah kejahilan kerajaan negeri, dan ini memberikan isyarat kepada pengundi terhadap kerajaan negeri yang dilihat gagal mengurus secara profesional dan berhemah," ujarnya.

Beliau mengulas mengenai pendedahan yang dibuat oleh Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa yang mendakwa syarikat Climate Protector Sdn Bhd yang diberikan konsesi 30 tahun untuk menguruskan projek tersebut oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan stok karbon di hutan hujan seluas 1 juta ekar, selain syarikat itu didakwa turut mengutip wang daripada orang ramai bagi tujuan pelaburan melalui penjualan token digital sejumlah RM17juta.

Manakala wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan pernah mengiktiraf syarikat tersebut menjalankan program pemeliharaan alam sekitar di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (UNFCC) mahupun Program Kerjasama Mengurangkan Pelepasan dari Pembasmian dan Degradasi Hutan di negara membangun (UN-REDD).

Bagaimanapun kerajaan negeri dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jawantankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Abdullah Che Mat Nawi semalam, dipetik berkata, kerajaan tidak sewenang-wenang membatalkan perjanjian bersama Climate Protector kecuali terdapat masalah yang memerlukan projek itu dihentikan segera.

Beliau memaklumkan telah membuat pertemuan dengan syarikat berkenaan dan meminta membuat penjelasan terhadap pelbagai tuduhan termasuk telah disenaraikan dalam langkah berjaga-jaga oleh BNM dan juga isu penjualan token digital.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel