Peneroka akui terpaksa meminjam Felda demi kelangsungan hidup

Peneroka Felda

Kebanyakan pinjaman yang dibuat oleh peneroka Felda adalah untuk memastikan mereka dapat menjalani kehidupan selesa sementara menunggu hasil tuaian pertama tanaman sawit.

Timbalan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohd Shariff berkata, pinjaman sara hidup bagi menjalankan projek tanaman sawit merupakan hutang paling lazim diambil peneroka Felda.

"Ada hutang peneroka mencecah sehingga ratusan ribu ringgit kerana selain hutang kos operasi, mereka juga telah mengambil hutang sosial.

"Dakwaan peneroka Felda banyak berhutang dengan pelbagai jenis pinjaman luar adalah tidak benar, tetapi kebanyakan mereka berhutang pinjaman sara hidup dengan Felda biarpun Felda sebenarnya tidak menggalakkannya," katanya kepada Bernama.

Semasa sambutan Hari Peneroka pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.

Sulong Jamil menarik perhatian dengan berkata sekiranya Felda tidak menyediakan pinjaman sara hidup selepas pokok ditanam semula, terdapat peneroka yang mungkin sukar meneruskan kehidupan.

"Selepas pokok ditanam semula, jika tiada hasil, bagaimana mereka hendak teruskan kehidupan? Takkan mereka kena tahan segala benda dan selepas tiga tahun dapat hasil baru bernafas?" katanya.

Menurut Sulong Jamil lagi ketika ini terdapat sesetengah kawasan telah ditanam semula dengan pokok sawit untuk kali ketiga yang dilakukan setiap 25 tahun sekali.

Beliau yang juga peneroka generasi pertama Felda Sungai Behrang berkata masalah lebih besar yang dihadapi peneroka ketika ini ialah pengurusan ladang yang tidak cekap serta penyata hutang tidak diberikan kepada mereka.

"Penyata hutang meragukan menyebabkan segelintir peneroka terutamanya generasi kedua dan ketiga tidak berpuas hati dengan Felda kerana mereka terpaksa menanggung beban hutang terdahulu bapa mereka.

"Kerana yang tahu adalah si peminjam itu sendiri, tapi lumrah manusia, kadang-kadang lupa dan bila meninggal dunia, yang memberontak ialah anak kerana perlu menyambung bayar tanpa mengetahui apa yang dipinjam oleh bapa mereka," jelasnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: