Tabur wang, sokongan warga Felda kepada BN tidak terjejas

Peneroka Felda

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sokongan warga Felda terhadap BN tidak akan terjejas selagi kerajaan meneruskan pemberian insentif.

Menurutnya, peneroka dilihat lega apabila Perdana Menteri mengumumkan enam insentif untuk mereka baru-baru ini walaupun diakui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menjadi isu besar kepada warga tanah rancangan tersebut.

"Oleh itu, saya berpendapat ia berkaitan isu kewangan.

"Jika ada sedikit sebanyak pemberian daripada kerajaan, langkah itu akan melegakan rakyat dan mereka akan tertarik dengan kita (BN).

"Jika pemberian seperti enam insentif itu dilakukan dari semasa ke semasa, insya-Allah sokongan warga peneroka terhadap BN tidak terjejas," ujarnya.

Pengerusi BN Pahang itu bagaimanapun tidak menolak kemerosotan sokongan generasi muda Felda terhadap parti tersebut.

"Kalau terjejas pun mungkin sedikit melihat sokongan daripada generasi X atau Y, tetapi secara keseluruhan sokongan tidak akan lari," katanya.

Dipetik dari wawancara di akhbar Mingguan Malaysia hari ini, beliau berpendapat isu kos sara hidup lebih mendapat perhatian berbanding kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apabila saya sebut isu 1MDB jatuh ke tangga 17, maknanya ada isu lain seperti kos sara hidup. Di tanah rancangan Felda, ia isu besar kalau kita (BN) tidak menanganinya," akui Adnan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan akhbar dimiliki Umno itu tentang pendekatan BN menghadapi pembangkang yang menyasarkan kawasan Felda pada pilihan raya umum akan datang.

"Memang Felda adalah tulang belakang politik BN di Pahang khususnya Umno," tambah Adnan lagi.

Pahang satu-satunya negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia yang tidak pernah dikuasai parti pembangkang dengan memiliki kawasan Felda paling banyak di negara ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel