KPJ wujud pusat Onkologi pertama di Pantai Timur

Hospital Pakar KPJ Pahang

KPJ Healthcare Berhad, peneraju bidang penjagaan kesihatan, menerusi KPJ Pahang Specialist Hospital melabur RM12 juta untuk mewujudkan pusat onkologi yang pertama di Pantai Timur.

Pengerusi Lembaga Pengarah Hospital Pakar KPJ Pahang, Abdol Wahab Baba berkata, ia bakal beroperasi di hospital pertamanya di negeri ini di Jalan Alor Akar menjelang suku kedua tahun depan.

"Kerja pengubahsuaian bangunan lama kini sedang giat dilakukan dan untuk fasa pertama kita melabur sebanyak RM12 juta, termasuk kos pembelian peralatan perubatan moden dan mesin bagi rawatan onkologi.

"Setelah selesai kita akan memasuki fasa seterusnya dengan penyediaan perkhidmatan untuk rawatan radioterapi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian KPJ Pahang Specialist Hospital, di Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mewakili Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Abdol Wahab berkata, hospital berkenaan juga akan dijadikan pusat dialisis berikutan bilangan pesakit yang semakin bertambah.

Pihaknya juga merancang untuk menyediakan rawatan penyakit selam di hospital itu memandangkan tiada lagi hospital pakar di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, Kamaruzzaman dalam ucapannya berkata, KPJ Pahang Specialist Hospital itu merupakan hospital ke-26 kumpulan itu dan dibina dengan kos RM110 juta.

Berkapasiti sehingga 200 katil pesakit, ia adalah yang pertama di Pahang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan jantung yang menyeluruh.

Katanya, hospital yang dibina pada akhir 2012 dan mula beroperasi Mei lepas juga memiliki makmal termoden bagi rawatan penyakit berkaitan kardiovaskular.

"Hospital 11 tingkat ini lengkap dengan peralatan perubatan moden serta 30 konsultan perubatan dalam pelbagai bidang termasuk ortopedik, traumatologi, pembedahan am dan neuro, obstetrik dan ginekologi.

"Semua perkhidmatan ini akan menaikkan lagi imej Kuantan sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan yang disegani di Pantai Timur," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: