Pelabur hadapi ketidakstabilan susulan kemenangan Trump

Donald Trump

Para pelabur akan mengalami ketidakstabilan jangka pendek susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat ke-45, kata Ketua Ekuiti Asia, Old Mutual Global Investors (OMGI), Josh Crabb.

Calon Republikan, Donald Trump menewaskan calon Demokrat, Hillary Clinton dalam persaingan sengit awal hari ini untuk menjadi Presiden AS baharu.

Crabb menyifatkan keputusan itu sebagai "jauh daripada jangkaan keputusan yang lebih terus-terang" pelabur.

"Arah pasaran ekuiti dijangka menjadi penjualan aset risiko di Asia," katanya.

Bagaimanapun, pasaran akan mengalami pemulihan berpotensi selepas kemasukan pembeli semasa harga rendah yang menyedari bahawa Kongres mungkin menolak beberapa janji kempen pilihan raya Trump, katanya.

Walaupun berlaku ketidaktentuan jangka pendek, Crabb berkata OMGI terus menumpukan kepada peluang Asia.

"Kami melihat pasaran kukuh ekuiti AS tidak mampu lagi bertahan pada tahap optimum, manakala pasaran ekuiti Asia, secara perbandingan, bersedia untuk mencatat prestasi melebihi jangkauan dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Crabb berkata pasaran ekuiti Asia yang agak murah dan belum dimiliki sepenuhnya, diunjur mencatat pertumbuhan perolehan sekitar 7.0 peratus pada 2017.

"Kami tidak mengubah kedudukan kami secara ketara, malah meningkatkan sejumlah kecil tunai untuk tujuan penyingkiran risiko, yang kami guna semula pada akhir minggu lepas.

"Strategi kami kekal ditetapkan bagi kitaran menaik di negara Asia dan kami akan menjadikan mana-mana pasaran yang menurun sebagai peluang belian," katanya.

"Memandangkan pasaran mengalami kelemahan dan membawa kepada ketidakstabilan jangka pendek, kelewatan kenaikan kadar faedah AS kini merupakan satu kemungkinan yang jelas.

"Ia menjadikan dolar AS dilihat lemah namun keadaan itu merupakan berita yang ditunggu-tunggu negara pesat membangun Asia, yang mahu membayar hutang dalam denominasi dolar AS secara lebih murah," kata Crabb.

Mengenai cubaan berulang Trump untuk memperkecilkan China, Crabb berkata ia mungkin bermakna kenaikan tarif, walaupun tempoh yang tepat dan berapa banyak kenaikan itu akan diketahui kemudian.

"Kami percaya Trump akan melaksanakan janji-janji pilihan raya untuk AS menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dan merunding semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara.

"Ia memberi kesan ke atas ekonomi Asia, menyebabkan lebihan dagangan lebih rendah, terutama ke atas pertumbuhan negara yang lebih berorientasikan eksport seperti Korea Selatan dan Taiwan," kata Crabb.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel