• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Tindakan Amerika keluar TPP kukuhkan dominasi ekonomi China

Negara negara anggota TPPA.Negara negara anggota TPPA.

Pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan memperkukuhkan lagi momentum untuk menjayakan pemuktamadan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Pakar Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas berkata tindakan Presiden Donald Trump menandatangani arahan eksekutif yang mengesahkan penarikan diri AS daripada TPP, juga akan merancakkan peralihan signifikan landskap dasar perdagangan di rantau Asia Pasifik.

Pada masa sama, katanya dalam satu kenyataan hari ini, keputusan AS juga hanya mengukuhkan lagi kedudukan China sebagai peneraju ekonomi di Asia Pasifik, khususnya membabitkan RCEP dan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).

China juga melaksanakan inisiatif ekonomi serantaunya sendiri seperti strategi 'Satu Jajaran, Satu Laluan' selain berperanan penting mewujudkan institusi kewangan pembangunan baharu iaitu Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

"Negara China berkemungkinan besar akan mengukuhkan peranan utamanya sebagai peneraju perdagangan Asia Pasifik pada masa depan menerusi beberapa inisiatif liberalisasi perdagangan pelbagai hala terutamanya RCEP dan FTAAP," katanya.

Malah kata Biswas, pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru pada November lepas, dua negara Amerika Selatan yang juga anggotai TPP iaitu Chile dan Peru turut menyuarakan minat untuk menyertai rundingan RCEP berkenaan.

Ini dilakukan berikutan jangkaan TPP akan menemui jalan buntu.

RCEP merupakan inisiatif liberalisasi perdagangan Asia Pasifik diterajui China yang turut melibatkan 10 negara anggota ASEAN selain Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan India.

FTAAP pula membabitkan kesemua 21 negara ekonomi APEC menerusi liberalisasi perdagangan dan apabila dilaksanakan kelak, bakal menjadi zon perdagangan bebas terbesar dunia merangkumi 57 peratus ekonomi global dan hampir separuh perdagangan dunia.

Biswas bagaimanapun mengingatkan, para pemimpin APEC perlu mengesahkan semula komitmen mereka untuk meneruskan wawasan jangka panjang membabitkan pembentukan FTAAP dengan langkah seterusnya digariskan dalam Deklarasi Lima.

"Memandangkan FTAAP akan direalisasikan di luar APEC namun seiring proses pertubuhan, ia akan mewujudkan fleksibiliti yang lebih ketara untuk beberapa anggota yang tidak berhasrat meneruskan wawasan itu," katanya.

Sementara itu, mengulas kesan penarikan diri AS terhadap Malaysia, Biswas berkata ia memberi impak ketara terhadap unjuran pertumbuhan eksport negara ini.

Ini berikutan jangkaan sektor eksport perusahaan Malaysia dan Vietnam menjadi antara penerima terbesar TPP kerana kewujudan akses lebih besar ke (pasaran) Amerika Utara.

"Perjanjian TPP itu misalnya akan menyaksikan pengurangan sekatan tarif bagi industri perusahaan elektronik di kedua-dua negara. Ia juga dapat menyuntik rangsangan besar kepada eksport tekstil Vietnam," katanya.

Biswas juga menyifatkan pengunduran AS daripada TPP turut memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe serta usaha pembaharuan ekonominya.

Ini berikutan kepentingan perjanjian TPP sebagai teras pembaharuan struktur Jepun yang dilaksanakan Abe dikenali 'Abenomics.'

Menurutnya, biarpun 11 negara anggota TPP dapat mewujudkan satu perjanjian serupa tanpa pembabitan AS, namun manfaat ekonominya terjejas dan berkurangan dengan ketara.

Ini berikutan faktor 68 peratus sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat itu mewakili gabungan KDNK 12 negara yang berunding bagi TPP berkenaan.

Bagaimanapun, Biswas menyifatkan masih ada manfaat di sebalik tindakan AS menarik diri daripada perjanjian TPP berkenaan.

Trump misalnya sudah menyuarakan hasratnya untuk meneruskan rundingan perdagangan dua hala dengan negara anggota TPP.

"Pendekatan (rundingan) dua hala ini juga boleh mewujudkan peluang bagi usaha liberalisasi perdagangan selanjutnya antara AS dan negara terbabit," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel