MATRADE meterai MoU dengan China Post promosi produk Malaysia

China Post perusahaan milik kerajaan China.China Post perusahaan milik kerajaan China.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan China Post Group Corporation, perusahaan milik kerajaan China, semasa Ekspo China-ASEAN Ke-14 (CAEXPO) 2017 untuk mempromosi produk Malaysia di republik itu.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Chua Tee Yong, berkata China Post mempunyai kira-kira 600,000 rangkaian kedai di seluruh negara dan perjanjian itu dilihat sebagai antara strategi MATRADE untuk memasarkan produk Malaysia di China.

"Selain daripada memanfaatkan rangkaian kedai tersebut, MATRADE juga merancang mewujudkan Pavilion Malaysia di platform dalam talian China Post bagi memperkenalkan produk Malaysia di sana.

"Setakat ini, kami percaya maklum balas daripada China Post amat positif," katanya pada sidang akhbar berkenaan CAEXPO 2017, di sini, hari ini.

CAEXPO 2017 yang bertemakan "Membina Bersama Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, Mempromosikan Integrasi Ekonomi Serantau menerusi Pelancongan", akan diadakan pada 12-15 Sept di Nanning, China.

Menurut Chua, kementerian itu telah mengarahkan pejabat MATRADE di Guangzhou untuk membuat susulan perkara tersebut bagi memastikan sebaik sahaja kerjasama tersebut terjalin, mekanisme kerja harus dimulakan untuk memperkenalkan produk Malaysia di China.

Ketika ditanya sama ada Malaysia dan China boleh mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$160 bilion tahun ini di bawah program ekonomi dan perdagangan lima tahun yang ditandatangani pada 2013, Chua berkata memandangkan pertumbuhan perdagangan global lebih perlahan daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar global beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan ini telah menjejaskan perdagangan antara Malaysia dan China.

"Ini menunjukkan sasaran itu mungkin akan mengambil tempoh yang lebih lama untuk dicapai," katanya.

Awal bulan ini, MITI mengumumkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China meningkat sebanyak 28.9 peratus tahun-ke-tahun kepada RM19.79 bilion pada Februari 2017, manakala eksport naik 47.6 peratus tahun ke tahun kepada RM9.57 bilion.

Peningkatan eksport itu didorong terutamanya oleh eksport tinggi produk elektrik dan elektronik, produk petroleum, kimia dan produk kimia, produk getah, gas asli cecair, serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: