Akta 355: Hak Raja-raja dan negeri dibelakangkan

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Bahrom baru-baru ini yang menjelaskan sebab mengapa RUU355 dibawa sebagai Rang Undang-Undang Persendirian oleh Ahli Parlimen Marang adalah amat memeranjatkan.

Alasan yang diberi adalah supaya persetujuan dan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu tidak perlu diperolehi terlebih dahulu. Dengan itu usul berkenaan boleh dibawa walaupun tidak mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

Adakah Datuk Jamil Khir memahami bahawa kenyataan beliau merupakan satu pengakuan bahawa kerajaan Pusat telah berpakat dengan PAS untuk dengan sengaja membelakangkan perlembagaan dan Raja-Raja Melayu? Tidakkah ini satu tindakan yang biadap terhadap Institusi Raja-Raja Melayu?

Ini adalah kali kedua dalam waktu setahun kerajaan mengenepikan dan merampas hak dan kuasa Raja-Raja Melayu mengikut perlembagaan. Kali pertama adalah pada awal 2016 ini dimana kuasa Raja-Raja telah dirampas melalui akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dimana persetujuan DYMM Yang Di-Pertuan Agong tidak lagi diperlukan untuk istihar keadaan darurat.

Perdana Menteri sendiri boleh mengisytiharkan situasi darurat tanpa perlunya perkenan YDPA. Majlis Raja-Raja telah menggesa Kerajaan menghalusi akta tersebut tetapi tidak diendahkan oleh Perdana Menteri.

Adakah RUU 355 dan MKN petanda hala tuju Kerajaan ke arah satu kuasa mutlak dengan mengenepikan suara dan peranan Raja-Raja Melayu? Adakah ini sikap kerajaan yang kononnya membela hak Raja Perlembagaan seperti terkandung dalam perlembagaan?

Dalam masa sama Umno mendakwa kononnya orang Cina melalui DAP ingin mengambil alih kuasa politik Melayu di Malaysia. Tetapi pada hakikatnya Umno sendiri yang menghakis kuasa Raja-Raja Melayu. Sedangkan Raja-Raja Melayu adalah simbol kuasa politik Melayu yang telah tertegak sejak sebelum datangnya kuasa penjajah Barat. Ia dihakis dan dirampas oleh Umno bukan DAP atau orang Cina.

Soalan seterusnya, adakah Pas sedar mereka telah diperalatkan oleh Umno dalam isu RUU355 ? Adakah Pas menyedari mereka juga membelakangkan Raja-Raja Melayu dalam isu ini dengan sedar atau tidak sedar? Atau adakah Pas dengan sedar bersekongkol dengan UMNO dari awal lagi untuk menghakis kuasa Raja-Raja?

Beberapa pakar undang-undang dan perlembagaan Negara sebelum ini telah menimbulkan perlunya persetujuan Negeri-Negeri serta Raja-Raja Negeri Melayu sebelum RUU 355 diluluskan di Parlimen. Pas tidak boleh mendakwa tidak sedar akan implikasi perjalanan RUU355 yang di ambil oleh mereka.

Apa jua peruntukan mengikut undang-undang Negara, sebagai parti Melayu terbesar di Malaysia, kedua-dua parti UMNO dan PAS sekurang-kurangnya mesti menjaga dan mengikut adab Melayu dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu kerana agama di bawah kuasa mereka. Dimanakah adab ke-Melayuan mereka?

Umno sedang goyah di seluruh Negara. Adakah ini pakatan Umno dan Pas untuk saling berpaut diantara satu sama lain untuk terus berkuasa sambil mengenepikan hak Raja Raja Melayu? Rakyat perlu tahu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel