Keadilan, tauliah dan budaya takfiri

Raja Bahrin Shah

Keputusan Mahkamah Syariah Selangor menghukum YB Khalid Samad denda RM2,900 atau 3 bulan penjara kerana "mengajar" di surau tanpa tauliah adalah mengejutkan.

Beliau telah dijemput oleh ahli surau untuk menceritakan pengalaman lawatan beliau ke Gaza dan bukan berkuliah agama.
Bukankah Islam menuntut kita berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman? Tindakan sebeginilah yang membuat orang ramai hilang keyakinan keatas kebijaksanaan mahkamah syariah dan majlis agama hari ini.

Adakah tindakan ini kerana beliau tidak "bertauliah" walaupun apa yang disampaikan bukan ajaran salah atau kuliah àgama.

Berapa kalikah telah kita menyaksikan ahli jemaah dijemput Imam masjid memberi ucapan berkongsi pengalaman mereka tanpa di dakwa ?

Bagaimana pula dengan Imam dan penceramah bertauliah yang menyampaikan ajaran yang salah dan menyesatkan?

Saya sendiri telah melaporkan di Parlimen dan juga orang lain yang di laporkan oleh media, tentang ucapan di masjid dan surau tertentu dimana penceramah mengistiharkan 'halal darah' dan boleh 'menghapuskan nyawa orang tertentu.

Kenapa tiada tindakan sehingga hari ini? Adakah kerana mereka ini bertauliah mereka berhak membuat pengistiharan bunuh sedemikian rupa- iaitu tauliah "with license to kill"?

Mufti Pahang pula mengistiharkan ahli parti DAP sebagai khafir harbi yang boleh dihapuskan tanpa apa-apa tindakan.
Adakah mereka yang bertauliah ini boleh mengistiharkan apa sahaja dan memiliki kekebalan? Ada juga yang mengisytihar sesama Islam kafir dan terkeluar akidah dengan sewenang- wenangnya. Adakah mereka ini kebal dan juga maksum?

Budaya dan gejala takfiri sudah lama bersama kita dan Kerajaan sengaja memekakkan telinga atas kepentingan dan kesefahaman politik. Kami sudah lama membahaskan isu ini di Parlimen dengan kerajaan membisu seribu bahasa.

Budaya takfiri tidak perlu dibawa masuk dari luar olih Isis atau Daesh, ia sudahpun bersama kita. YB Khalid Samad di hukum kerana bercakap tentang pengalaman di Gaza tanpa tauliah.

Bagaimana pula mereka yang mengamalkan budaya takfiri menghukum kafir sesama Islam dan halal darah dengan memiliki tauliah oleh pihak berkuasa ? Kebal kah mereka ?

Islam menuntut keadilan untuk semua dan pihak Majlis Agama serta Mahkamah Syariah perlulah bertindak adil kepada semua tidak kira fahaman ideologi atau politik.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda, Aku diutus bukan untuk melaknat, tetapi untuk membawa rahmat.

Oleh itu siapakah kita, walaupun kononnya bertauliah, untuk melaknat sesama Islam ?

Kami sedang mengkaji merujuk ketidak adilan ini kepada Majlis Raja Raja Melayu supaya kesucian Agama Islam dan nama baik Majlis Raja Raja terpelihara. Kepada Allah yang maha besar dan adil kami berserah.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: