• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Islam di tengah pelbagai kaum

A Shukur HarunA Shukur Harun

Amanah, sebuah parti yang muda dalam usia, baru kira-kira setahun tiga bulan, tetapi pimpinan dan pendukungnya adalah dari mereka yang berpengalaman dalam politik tanah air dan bidang lain.

Di antaranya hadir dalam Amanah para tokoh pemikir di pelbagai bidang, agamawan, aktivis veteran dan pelbagai lagi,. Semuanya berada dalam rimbun pohon rendang Amanah.

Kehadirannya dalam kancah politik tanah air dilihat semakin kukuh dan sudah dirasakan kewujudannya. Ia hadir dalam politik tanah air dengan tag-line ‘Mendukung konsep Rahmatan Lilalamin’ – Rahmat Seluruh Alam’ dengan peduli rakyat.

Ia hadir sebagai parti politik pelbagai kaum dan agama, penuh toleransi dan terbuka. Namun ia tetap berada dalam orbit Islam.

Ia hadir untuk memenuhi tuntutan Islam generasi kedua di tengah masyarakat majmuk yang pelbagai ragam dan tuntutan.

Maka itu pimpinan Amanah berusaha berusaha memberikan penjelasan dan huraian sebagai pencerahan akan konsep Parti Amanah sebagai parti yang praktikal bergerak dalam kerangka negara bangsa pelbagai kaum.

Program besarnya pada tahun ini ialah menganjurkan NUNJI 2017 yang akan diadakan pada 5 Februari ini di Kompleks Belia Selangor, Seksyen 7, Shah Alam. Tema kali ini ialah ‘Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa’ yang akan menghuraikan secara spesifik peranan Maqasid untuk membina dasar dalam pembentukan negara bangsa.

Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah atau singkatan ‘NUNJI’ ini telah dilancarkan pada tahun 2015. Ia adalah platform untuk membekalkan kefahaman Islam dan kepada negara bersandarkan kepada Maqasid Syariah atau objektif besar Syariah.

Kejayaan NUNJI ialah ia dapat mengemukakan pelbagai idea baru mengenai peranan Islam dalam kerangka kepelbagaian dan mencadangkan kepada orang ramai bagaimana keadilan, kebebasan dan kesaksamaan dapat diterjemahkan dan dilaksanakan dalam konteks politik Malaysia.

Kali ini NUNJI mendatangkan khas tokoh ilmuwan Islam yang terkenal iaitu Dr Jasser Audah dari Kanada. Tokoh ini terkenal dengan pandangan progresif mengenai kerangka negara moden dan bagaimana peranan Syariah Islam di dalamnya.

Beliau akan menghuraikan idea ‘Negara Madani dan Referensi Islam Sebagai Prinsip’.

Turut ditampilkan ialah Prof Datuk Dr Siddiq Fadhil, Presiden Darul Hikmah dan Pengerusi IDE Selangor yang akan menyinggung isu Negara Bangsa dan bagaimana peranan Maqasid Syariah membentuknya.

Prof. Datuk Dr. Siddiq, adalah ilmuan terkenal yang banyak menghuraikan mengenai keunggulan Islam dan syariatnnya di mana beliau juga banyak menulis buku, yang terkenal antaranya, ialah ‘Islam dan Melayu’.

Selain itu tokoh ulamak muda Ustaz Wanji Wan Hussin dari Sekolah Pemikiran As-Syatibi akan menyumbangkan satu tajuk mengenai ‘Disiplin Maqasid Syariah’.

Sebagai melaksanakan salah satu resolusi NUNJI 2015 yang lalu, NUNJI kali ini turut mengemukakan pengenalan awal kepada ‘Fiqh Siyasi Malaysia’ yang akan dibentangkan oleh Pengerusi NUNJI sendiri iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Aturcara menarik kali ini ialah pelancaran prosiding NUNJI 2015 dan tiga buku kecil terbitan NUNJI bertajuk Islam dan Demokrasi, Fiqh Muwothonah dan Perlaksanaan Hudud dalam Bingkai Fiqh Awlawiyat akan disempurnakan oleh al Fadhil Ustaz Ahmad Awang Penasihat Umum Amanah dan sekaligus merasmikan NUNJI 2017.

Menurut Mujahid, NUNJI akan terus menjadi wahana mencerdas minda ahli Amanah khususnya dan masyarakat umumnya melalui penglibatan semua pihak dalam bidang kepakaran mereka.

NUNJI juga, katanya, terbuka untuk orang awam yang berminat. Penutup di sebelah petangnya akan disempurnakan oleh Presiden Amanah Tuan Haji Mohamad Sabu.

Progrem penting ini sangat wajar dihadirri oleh warga Amanah. Ia sebagai pencerahan dan membuka minda kita bagaimana pemikir Islam menghuraikan kesesuaian syariat Islam dengan suasana masyarakat moden yang berbilang kaum seperti di negara ini.

Fiqh Malaysie, iaitu huraian mengenai fiqh yang mendedahkan fiqh bagaiamana Islam melihat dan menyelesaikan pelbagai masalah hukum berdasarkan suasana terkini dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, tanpa merongkai hukum asas yang ada nas di dalam Al-Quran dan hadis mutawatirah.

Tentunya umat Islam, khususnya warga Amanah sangat berhajatkan petunjuk seperti ini, justru ia sebuah parti polittik betnuansa Islam, iaitu betapapun penuh toleransi dengan keterbukaannya ia tetap berada dalam orbit Islam.

Diharapkan sangat supaya pendekatan yang dibawa oleh NUNJI ini tidak disalahmengertikan, justru usaha NUNJI ini sekedah suatu akhtiar Amanah untuk memberikan kefahaman bagaimana Islam itu dilihat dalam karengka yang luas sesuai dengan Islam itu rahmat untuk seluruh alam.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: