Setelah 26 bulan tidak menulis

Ahmad Lutfi Othman

 

Sejak enam bulan lalu, selepas menyesuaikan diri dengan rawatan rutin tiga kali seminggu hemodialisis, saya memaksa diri berusaha untuk kembali menulis. Memang sukar. Terkial-kial mencari idea. Lebih payah menyusun ayat. Terasa janggal sekali. seperti bertatih membina kalimah.

Proses dialisis yang cukup meletihkan juga membantutkan tekad. Keupayaan membaca turut membataskan pengetahuan dan imiginasi. Saya sering diperingatkan, kesakitan dan keuzuran adalah garis yang telah ditakdirkan. Lalui saja dengan ikhlas, reda dan tenang.

Ahmad Lutfi bersama-sama mengedarkan Harakah menjelang hari mengundi PRU13 di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kaua Lumpur.Saya mengisi kolum terakhir Catatan Hujung dalam akhbar Harakah lebih dua tahun lalu. Lebih tepat, pena saya tergantung selama 26 bulan. sejurus Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas episod getir yang kemudiannya menyaksikan Pakatan Rakyat pecah dan runtuh.

Selama tempoh itu juga -- dan sehingga sekarang -- saya tidak lagi melanggan akhbar dan membacanya. Bukan aksi boikot. Bukan rentetan pemulauan. Ia bermula apabila daya penglihatan saya merosot teruk. Cermin mata tidak dapat membantu. Dua kali saya menukarnya. Agak besar belanja. Pakar mata menasihati, usah buang duit. Tumpu kepada rawatan di hospital. Banyak kali juga operasi laser mata yang menyakitkan dan suntikan yang mahal.

Umpama terkurung dalam dunia asing. Informasi serba terbatas. Berita TV jam lapan malam juga jarang ditonton atau didengar. Mula-mula terasa seakan pelik. Ya, apa yang berlaku di luar sana. Tambahan pula politik tempatan -- terutama sekali pergolakan dalaman Pas -- semakin menggelegak. Berdentam-dentum.

Hanya tablet Samsung sesekali menjawab pertanyaan. Itu pun saya lebih suka melayari youtube untuk mendengar == bukan melihat -- perkembangan semasa. Ternyata ia tidak dapat menandingi kenikmatan membaca yang sudah hilang itu. Malah membaca lembaran buku atau akhbar lebih mengasyikkan daripada menatap gajet.

Saya tidak dapat menunaikan tanggungjawab secara berkesan mengemudi Harakah bermula Disember 2014. Kisah saya diminta berhenti secara mengejut oleh pimpinan tertinggi lidah rasmi Pas itu mencetuskan sedikit kocakan. Namun saya akur, daripada menjadi bebanan atau batu penghalang untuk Harakah terus maju, lebih baik saya meminggir ke tepi.

Dalam masa sama bibit-bibit Harakah menuju kemerosotan sudah terbayang. Gugatan media baru memang satu faktor besar tetapi kurangnya persiapan untuk mencabar ancaman baru itu, bagi saya, lebih berperanan untuk menjatuhkan lagi jumlah cetakan akhbar. Kapal yang bocor menunggu masa untuk tenggelam.

Saya lebih tertekan dan menderita apabila sekadar menjadi pemerhati pasif, tanpa mampu berbuat apa-apa. Saya diberikan tugasan baru untuk melatih dan membina wartawan Harakah. Tapi, apa yang harus saya latih terutama dengan perubahan gaya politik Pas selepas muktamar pemilihan di Kuala Selangor? Saya kebingungan. Organ parti harus menurut rentak baru kepimpinan dan saya semakin sukar memahami corak dan pendekatan siyasah yang dipilih.

Lama saya diberikan cuti sakit. Edah saya dengan Harakah berakhir secara rasmi pada 31 Disember 2016. Saya juga disahkan ilat oleh Perkeso. Sebenarnya sejarah saya dengan dunia kewartawanan sudah tamat lama sebelum itu, sekitar Oktober 2014, iaitu ketika catatan terakhir dalam kolum Catatan Hujung dalam akhbar Harakah.

Dari jauh saya mengikuti perkembangan dalaman Pas yang cukup menyedihkan. Saya masih sempat mengheret kaki ke muktamar Pas di Batu Pahat pada 2014. Beriyani gam tidak lagi dapat memikat selera. Suasana perbahasan tawar dan ada kalanya menjengkelkan. Saya terasa kehilangan yang amat sangat sepanjang hadir di situ.

Saya pulang lebih awal. Dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur, yang diiringi hujan lebat, saya mencuri dengar ucapan pimpinan Pas melalui radio internet. Harapan saya, biduk lalu kiambang bertaut. Pembahas boleh menimbulkan apa saja yang terbuku di dada, termasuk membacakan "doa yang pelik-pelik" untuk diaminkan, tetapi keadaan diharap menjadi reda dengan ucapan penutup pimpinan.

Air mata saya mengalir dan dada berkocak kencang mendengar ucapan penggulungan Presiden. Retak tidak lagi menunggu pecah, malah sudah terburai. Gurau senda anak-anak dan isteri sepanjang perjalanan hilang ditelan kegelisahan. Minda saya mula menjangka, Pas sudah tidak sama seperti dulu. Sedih, sebak dan marah bersilih-ganti.

Sejak saat itu, secara perlahan-lahan, saya seolah-olah tidak lagi mengenali watak dan keperibadian Pas walhal itulah parti Islam yang saya yakin wajib disokong dan didukung seawal zaman kanak-kanak, tanpa pilihan. Episod ini cukup melukakan. Peluang untuk mencipta sejarah baru politik tanahair menjadi kabur. Kekuatan oposisi merosot teruk.

Dalam masa sama, kualiti kesihatan saya makin menjunam. Kerosakan fungsi buah pinggang menghampiri tahap optimum. Rakan-rakan yang menziarahi mengelak daripada membawa khabar sedih tentang perkembangan siyasah. Mereka lebih bimbangkan keadaan diri saya, yang kadang-kadang seperti termangu-mangu dalam dunia sendiri. Mereka tidak mahu fikiran saya terganggu sedangkan dalam keseorangan saya menjadi lebih parah ketika berusaha mencari jawapan sendiri.

Ya, mungkin saya kurang terdedah dengan situasi sebenar urutan perpecahan dalam Pas. Namun saya semakin tidak dapat memahami gaya dan pendekatan barunya. Berjumpa dengan kenalan baru semasa menunggu di hospital, juga doktor-doktor pakar yang tekun merawat saya, mereka turut keliru dengan sikap pimpinan Pas. Lebih malang, kebanyakan mereka menyangka Pas lebih mudah mesra dengan Umno berbanding pembangkang lain.

Saya pernah mencatat dalam facebook, dipandang dari sudut ini, strategi politik matang dan sejahtera Pas gagal difahami diumum. Ramai penyokong Pas mencemuh saya sehingga ada yang meminta saya jangan lagi lagi mengulas parti orang. Tertanya-tanya juga, mengapa mudah sangat menghukum saya sudah keluar Pas. Ada juga mendakwa saya telah dipecat dari Parti Islam itu!

Dalam iklim politik yang kritikal dan meruncing ini, apatah lagi terbocor skandal kewangan terbesar 1MDB, dengan potensi terbaik menukar kerajaan, persefahaman sesama pembangkang juga menimbulkan seribu satu pertanyaan. Saya bertanya sendirian, apakah aku akan terus termenung di atas perbaringan ini.

Tidak banyak yang mampu saya lakukan dengan keterbatasan ini, namun sekurang-kurangnya awal kalimah kolum Catatan Hujung melorongkan usaha kecil untuk bersama-sama gerakan massa menyelamatkan Malaysia daripada terjunam ke dalam gaung yang mengerikan.

-------
* Sebahagian tulisan ini pernah tersiar dalam akhbar Amanah keluaran ke 34. Ahmad Lutfi juga akan menulis kolum khusus untuk Malaysia Dateline mulai hujung minggu ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel