• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Mitos dominasi politik Melayu

Sejak merdeka hingga sekarang orang Melayu dihantui ketakutan yang sama. Mereka bimbang jadi pengemis di tanah sendiri. Bimbang jadi kuli di negara sendiri. Malah mimpi ngeri itu sudah digubah menjadi sebuah lagu berjodol “Anak Kecil Main Api”. Kalau ada anak Melayu yang tidak pernah menyanyikan lagu ini, barangkali belum lengkap keMelayuannya.

“Kalau Umno kalah, Melayu akan hilang dominasi politik.”

Sudah 60 tahun berlalu mimpi ngeri ini tidak pernah putus. Takut pada hantu yang tidak pernah ada. Itulah khurafat politik sembahan orang Melayu.

Sejak dulu kesemua Sultan dan YDP Negeri kesemuanya Melayu. Perdana Menterinya Melayu. Kebanyakan Anggota Kabinetnya Melayu. kesemua Menteri Besar dan Ketua Menterinya Melayu, kecuali satu. Ketua Tenteranya Melayu. Ketua Polisnya juga Melayu. Wakil-wakil rakyatnya juga kebanyakannya Melayu. Sekitar 90% kakitangan awam yang berjumlah sekitar 1.4 juta orang adalah Melayu. Sebahagian besar perbelanjaan pembangunan kerajaan diberikan kepada syarikat Melayu. Padahal peratusan Melayu di negara ini sekitar 65%, tetapi dominasinya di dalam sektor politik dan pentadbiran negara mencecah 85%.

Kalau dilihat fakta ini, ketakutan akibat khurafat politik ini sangat aneh. Ibarat ayam yang takut jadi itik. Walaupun ayam-ayam itu mungkin sangat teringin untuk turut berenang di taliair.

Dominasi politik melayu sejak 60 tahun dulu sangat jelas dan tidak pernah tercabar. Tetapi apa hasilnya. Faktanya cukup mengecewakan.

Lima rakyat terkaya, kesemuanya bukan Melayu. 80% peratus rakyat negara ini yang hidup di bawah paras kemiskinan pula adalah Melayu. Tanah-tanah Melayu semakin hilang akibat polisi kerajaan yang diperintah oleh Melayu. Sasaran ekuiti untuk orang-orang Melayu masih tidak tercapai. Agensi-agensi penting untuk orang-orang Melayu seperti Mara, Felda, Tabung Haji, LTAT, dan banyak lagi dilanda masalah kecurangan dan penyelewengan sehingga kerugian dana berbilion ringgit. Kalau inilah hasilnya dominasi politik Melayu yang diperjuangkan, ianya adalah pembohongan.

Malaysia mesti keluar dari khurafat bonsai akal ini. Kedudukan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini sudah termaktub di dalam perlembagaan. Ayam tidak perlu lagi takut jadi itik. Apa yang perlu, ayam mesti tahu bagaimana untuk hidup samada di musim kering ataupun di musim banjir. Ditakdirkan ayam boleh sampai berenang sekalipun, ia tetap ayam dan bukan itik.

Pulau Pinang dan Selangor adalah bukti jelas khurafat ini hanyalah modal para saudagar politik Umno. Mereka menjual khurafat ini untuk jadi kaya dan terus jadi kaya. Kelangsungan hidup orang Melayu beragama Islam mesti dibebaskan dari khurafat ini. Doktrin politik “Dominasi Melayu dan Dominasi Umno” perlu digantikan dengan doktrin politik baru yang lebih relevan dengan kehidupan rakyat.

Cukuplah Pas sahaja yang membeli khurafat ini di atas kedangkalan mereka sendiri.

Peruntukan untuk institusi agama meningkat saban tahun di Pulau Pinang dan Selangor. Kehidupan orang-orang Melayu jelas terbela. Kesaksamaan membawa manfaat kepada seluruh rakyat.

Doktrin politik untuk rakyat Malaysia mestilah berdiri di atas prinsip kompetensi dan sifat amanah. Bahkan inilah doktrin politik yang diajar oleh Al-Quran.

Sekiranya Pakatan harapan memerintah, ini bermakna anggota parlimen Melayu di blok parti memerintah tetap majoriti. Isu dominasi Melayu tidak berbangkit lagi. Isunya, bagaimana meningkatkan kompetensi politik dan sifat amanah dalam amalan politik bernegara dan tadbirurus ekonomi negara. Dominasi politik di dalam Pakatan Harapan bukan bersifat “race-centered” atau “party-centered” seperti Umno/BN. Dominasi politik di dalam Pakatan Harapan adalah berasakan “principle-centered”.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: