• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Pola pemikiran Siti Kasim bagaikan 'takfiri'

 

Siti Kassim dalam satu majlis dialogSiti Kassim dalam satu majlis dialog

Siti Kasim kata negara Malaysia adalah sebuah negara sekular, dan bukannya sebuah negara Islam kerana tidak mengamalkan sepenuhnya hukum Islam. Beliau juga mengatakan perlembagaan negara menyebut bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Aku katakan bahawa sebenarnya teks perlembagaan negara adalah "silent" dalam isu ini. Perlembagaan Negara tidak pernah memperakui bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara Islam mahupun sebuah negara sekular. Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Salleh Abbas pernah membuat penghakiman bahawa Malaysia bukan negara Islam. Tetapi, penghakiman itu tidak juga bermakna bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Bagi Siti Kasim, kalau sesebuah negara itu bukan negara Islam maka semestinya ia adalah sebuah negara sekular. Ini pola pemikiran binari yang tidak banyak bezanya dengan pemikiran takfiri. Kalau tidak Islam mesti kafir. Kalau tidak hitam mesti putih. Kalau tidak baik mesti jahat.

Hakikatnya, dunia ini tidak boleh wujud hanya dengan dua warna. Manusia juga tidak boleh hidup hanya dengan dua pilihan. Aku melihat pola pemikiran Siti Kasim ini agak mirip dan tidak kurang bahayanya dengan pemikiran takfiri, cumanya keduanya mungkin berada di dua hujung yang berbeza.

Siti Kasim juga mesti faham bahawa negara Islam itu bukan istilah syarak. Istilah "Negara Islam" tidak mempunyai rujukan tekstual di dalam Al-Quran ataupun As-Sunnah. Ianya hanya satu bentuk gagasan yang yang diukir oleh para tokoh pemikir dan siyasah Islami mutakhir ini sahaja. Negara Islam tidak mempunyai bentuk definitif yang tertentu. Ia lebih berbentuk "prinsip dasar", berbanding berbentul definitif. Jadi, tindakan Siti Kasim membuat tafsiran definitif terhadap apa yang dikatakan negara Islam tidak tepat dan mengelirukan.

Kalaulah sesebuah negara itu hanya dipanggil sebuah "negara Islam" apabila ianya melaksanakan hukum-hukum Islam termasuk hudud secara keseluruhan, maka "negara Islam" sebenarnya mungkin hanya boleh dikatakan wujud pada 300 tahun pertama sahaja setelah kewujudan negara Madinah.

Kajian terperinci yang dilakukan oleh Dr Mohamad Salim El Awwa di dalam bukunya "Criminal Punishment In Islamic Laws" contohnya menunjukkan bahawa perlaksanaan hukum hudud secara menyeluruh hanya berlaku pada 300 tahun pertama era Islam. Ini bermakna sebahagian besar tempoh pemerintahan Kerajaan Abbasiah dan Uthmaniyyah adalah bukan berbentuk "negara Islam".

Maka itu aku menolak pentafsiran Siti Kassim ini kerana kalau mengikut pentafsiran beliau, Kerajaan Abbasiah dan Uthmaniyyah itu bukan kerajaan Islam.

Aku menghormati dan menghargai sumbangan Siti Kasim dalam kerja-kerja sosial yang beliau terlibat dan aku berdoa Allah SWT akan membalasnya dengan kebaikan.

Tetapi, aku fikir kenyataan Siti Kasim tentang isu ini tidak membantu membawa negara Malaysia ke hadapan sama ada dari sudut penghayatan agama mahupun pendidikan politik. Walhal, politik negara kita ini sudah terlalu sesak dan masih terus diasak dengan dikotomi agama yang berserabut dan mengelirukan. Menambah perencah dalam "keserabutan dikotomi agama" hanya akan lebih menambah buruk keadaan yang sedia ada.

Dirgahayu Malaysia.

______________________

Penulis ialah Pengarah Komunikasi Amanah Negeri Selangor.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel