Rasuah barah yang menghancurkan negara

Shamsul Maarif Ismail

Negara dikejutkan sekali lagi dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan tangkapan enam orang pegawai kanan polis kerana dipercayai menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka.

Walaupun kes ini belum terbukti bersalah dan akan diadili di mahkamah ianya sedikit sebanyak telah memberikan persepsi yanga amat negatif terhadap agensi penguatkuasaan di dalam Negara.
Sebelum ini SPRM juga telah menahan beberapa orang pegawai Imegrisen yang dituduh terlibat dalam jenayah rasuah yang melibatkan pendatang tanpa izin.

Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 malaysia juga telah merosot daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara.

Media juga melaporkan di peringkat ASEAN, Malaysia berada jauh di belakang berbanding Singapura yang berada pada kedudukan Ke-7 dan Brunei Darus Salam.

Situasi gawat dan membarah ini telah disambut oleh Datuk Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengambil inisiatif melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di seluruh negara. Kita sokong dan sanjung semangat serta tindakan pro-aktif ini.

Adalah difahamkan bahawa Gerah akan menggerakkan seramai 2,000 anggota dan pegawai SPRM ke seluruh negara setiap bulan untuk mendekati rakyat bagi memberi kesedaran bahawa rasuah sebagai musuh nombor satu negara.

Dalam satu Forum awal bulan ini di Putrajaya Timbalan Pesuruhjaya SPRM membuat kenyataan seramai 54 peratus penjawat awam bawah umur 40 tahun didapati terlibat dengan rasuah.

Ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad juga melaporkan dari Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah tahun 2016 menunjukkan 16 peratus daripada 1,000 orang mahasiswa yang menjadi responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa.

Semua bukti dan data terkumpul serta indeks Rasuah Negara sudah semestinya amat membimbangkan kita semua sebagai warga Negara yang prihatin.

Rasuah adalah barah yang menyusup masuk ke dalam kalbu dan jiwa rakyat yang lemah iman tanpa mengira pangkat, kuasa, agama, kaum dan parti politik. Jika sekali mengambilnya walau dengan jumlah yang kecil ianya akan menjadi tabiat buruk yang akan menjadi satu kebiasaan melakukan kesalahan pada agama, bangsa dan Negara. Duit najis yang diterima ini jika diberikan kepada anak-anak dan keluarga yang memakannya adalah satu perbuatan keji.

Mengikut laman web SPRM SPRM menyatakan bahawa sebarang tindakan memujuk rayu, memberi, menerima atau memperoleh suapan samada secara langsung atau tidak langsung, kepada /daripada orang yang mempunyai kuasa samada dalam bentuk wang, perkhidmatan atau benda berharga sebagai dorongan atau ganjaran orang itu melakukan atau tidak melakukan apa-apa tindakan yang berkaitan dengan kepentingan prinsipal orang itu; sebagai satu perbuatan rasuah.

Negara yang sangat kaya raya dengan segala mahsul dan dikurniakan bangsa yang bermaruah ini sedang menuju lurah dan gaung kehancuran yang sangat dalam jika sesuatu tindakan bermakna tidak dilakukan dengan penuh drastik. Hingga sesebuah Negara itu boleh terjual, muflis dan tergadai kepada musuh Negara.

Ia ibarat sel barah yang akan memasuki bahagian dalaman anggota manusia dan apabila sudah sampai tahap 4 maka apa yang boleh dibuat hanyalah bacaan Surah Yasin dan kematian menuju ajal.

Jika Pemimpin sedia ada telah menunjukkan prestasi kegagalan maka pemimpin lain harus mengambil alih setereng Negara ini dengan cara yang sah dan mengikut Perlembagaan Negara. Pepatah bangsa Cina mengatakan “ Ikan yang busuk itu bermula dari kepalanya”.

Rakyat harus bangkit membuat perubahan secara silmi atau sejahtera memberikan mandat baru kepada mereka yang lebih kompeten, jujur, bersih dan takut kepada Allah SWT Yang Maha Melihat segala sesuatu samada yang zahir mahupun yang batin.

Firman Allah SWT “ Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). ( Surah Al-Baqarah:188)

Hadith Nabi daripada Ibnu Umar RA “ Ar-Rasyi wal murtasyi fi al-Naar” yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.” (HR At-Tabrani).

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: