Hari OKU Sedunia: Sebuah Harapan Bersama

Ada beberapa senario yang perlu dicermat bersama bukan sekadar hari OKU disambut tanpa meninjau fundamental sekitar isu.Ada beberapa senario yang perlu dicermat bersama bukan sekadar hari OKU disambut tanpa meninjau fundamental sekitar isu.

Statistik bagi Orang Kurang Upaya ( OKU ) di Malaysia pada tahun 2015 adalah sejumlah 354,874 orang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya ( OKU ).

Jumlah bilangan OKU ini meliputi tujuh kategori ketidakupayaan iaitu masalah pembelajaran ada 126,511 orang, fizikal ada 121,175 orang, penglihatan 31,756 orang, pendengaran ada 29,061 orang, mental ada 28,282 orang, pelbagai ada 16,353 orang dan pertuturan ada 1,736 orang ( Hansard Parlimen Malaysia, 2015 ).

Sempena dengan hari OKU sedunia, biro OKU Pemuda Amanah ingin melontarkan pandangan untuk kesejahteraan OKU di Malaysia.

Ada beberapa senario yang perlu dicermat bersama bukan sekadar hari OKU disambut tanpa meninjau fundamental sekitar isu.

Pertama, Peluang pekerjaan. Menurut Lau Poh Li ( 2011 ) kerajaan telah menetapkan dasar kuota 1% jawatan di sektor awam untuk OKU bagi memastikan OKU mempunyai tempat di pasaran kerja, Walaubagaimanapun, inisiatif ini masih belum dapat menarik sektor awam dan swasta untuk mengambil OKU sebagai pekerja.

Kedua, Penempatan kerja. Berdasarkan kajian (Mohd Hafiz Abd Rahman, 2009) rata-rata responden kajian masih tidak berpuas hati dengan penempatan dan peluang kerjaya untuk OKU.

Ketiga, Cabaran stigma masyarakat dan persepsi negative majikan terhadap OKU. cabaran OKU untuk bersaing mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan golongan masyarakat normal, berhadapan dengan stigma masyarakat yang negatif terhadap kemampuan mereka menyebabkan golongan ini terpinggir dalam mendapatkan pekerjaan (Mhd Subhan, Alina Ahmad, Bibi Farhana Ahmad, & Salleh Amat, 2014).

Kempat, Sokongan Sosial. belia kurang upaya yang berisiko tinggi seperti, masalah pembelajaran (LD), Gangguan kefungsian pemerhatian dan hiperaktif (ADHD), dan gangguan emosi (ED) cenderung kurang untuk menerima sokongan sosial dan hidup berdikari, dan lebih cenderung untuk mengalami kesusahan kewangan, terlibat dalam jenayah, dianggap sebagai ancaman, dan mempunyai efikasi kendiri akademik lebih rendah berbanding dengan pelajar tipikal lain. (Baird, Scott, Dearing, & Hamill, 2009;. Newman et al, 2011).

Kelima, Advokasi OKU. Orang kurang upaya sering kali mengalami kesukaran untuk berdepan dengan vokasional, ekonomi dan sosial. (Anya Sheftel. 2014).

Keenam, Penempatan Pendidikan secara komprehensif bagi OKU. Jumlah OKU yang mengikuti pendidikan khas pada tahun 2014 adalah seramai 57637, sedangkan bilangan kategori OKU masalah pembelajaran lebih besar dari tempat yang ditawarkan.

Ketujuh. Rumah mampu milik bagi OKU. Memandangkan status ekonomi OKU adalah rendah, ramai OKU yang berkeluarga tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Kelapan. Pelan Pembangunan OKU. Di Malaysia, banyak isu-isu berkaitan OKU dibincangkan dalam medan akademik tetapi dari sudut Pelan Pembangunan OKU dari tempoh tertentu masih samar dan bagaimana ia boleh diimplementasikan walaupun JKM ada mengeluarkan secara ringkas tetapi ia terlalu simplistik.

Cadangan kepada pihak kerajaan.

Pertama, Sistem pendidikan bagi OKU perlu menjurus kepada keupayaan dan kesedaran vokasional sebagai persediaan golongan OKU untuk bekerja dengan majikan dalam kemahiran-kemahiran tertentu. Ini dengan mengambil kira OKU masalah pembelajaran sebagai domain yang terbesar yang sememangnya tidak menguasai akademik, maka kewajaran bagi pendidikan khas masalah pembelajaran memperuntukkan pendedahan kerjaya sepanjang persekolahan. Program “buying seat”, vokasional pendidikan khas perlu dikembangkan dengan tenaga pengajar yang lebih terlatih bukan hanya tertumpu di sekitar kawasan tertentu sahaja.

Kedua, Peruntukan kouta 1% pekerjaan kepada OKU di sektor awam perlu diteliti kembali dan dikemaskan bagi memastikan kerajaan dan juga sektor swasta berkeyakinan untuk mengambil OKU bekerja tanpa stigma negatif.

Ketiga, sistem perumahan mampu milik khas kepada keluarga OKU dibawah skim perumahan Negara atau dibawah mana-mana pemaju swasta dengan biayaan oleh kerajaan. Memandangkan rata-rata OKU berstatus ekonomi rendah yang tidak mempunyai slip gaji tetap pasti mempunyai kesukaran membuat pinjaman perumahan bank. Oleh itu, pinjaman perumahan OKU dibuka dibawah kerajaan

Keempat, hapuskan GST kepada seluruh OKU bahkan merekalah paling layak menerima bantuan.

Kelima, diskusi ilmu yang membentuk polisi kerajaan. Dialog, forum, wacana, komferen dan apa jua kempen perlu dilakukan oleh semua pihak sama ada NGO, aktivis, parti politik dan kerajaan untuk membentuk suasana kesedaran masyarakat terhadap OKU. Ini sebagai usaha berterusan untuk membuang tanggapan-tanggapan negatif terhadap OKU sekiranya wujud. Perkara ini masih terlalu sedikit dijalankan melainkan hanya sebahagian kecil atas dasar kesedaran dan tanggungjawab.

Keenam, semua aktivis, NGO, persatuan-persatuan kebajikan, ahli-ahli akademik dan semua pihak, kita perlu bercakap dengan laras nada yang sama untuk mewujudkan kesejahteraan kepada OKU dan perbincangan Gagasan Pembangunan OKU yang lengkap perlu dilakukan bersama.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: