• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Razali Endun, kehilangan besar novelis reformis

Razali Endun, kehilangan tokoh penulis yang sukar dicari ganti.Razali Endun, kehilangan tokoh penulis yang sukar dicari ganti.


Saya sepatutnya bersama dengan dia pergi ke Gerakbudaya berjumpa dengan Pak Chong, tuan punya 'rumah budaya' dan syarikat penerbitan di Petaling Jaya itu, pada hari Jumaat 10 Februari, kerana hendak serahkan manuskrip novel terbarunya “Beringin Tua”, untuk dipertimbangkan bagi penerbitan.

Pada malam Baca Puisi Bumbung @Shah Alam 11 Januari, (di tingkat bumbung bangunan IDE), apabila dia hendak menyerahkan manuskrip novel terbarunya itu, saya agak gelisah menerimanya, kerana memikirkan apakah saya punya waktu untuk membacanya. Tetapi mana mungkin saya menolaknya! Bersusah payah dia bertongkat datang membawa manuskrip itu, dengan harapan saya membaca dan memberikan maklum balas kepadanya.

Barangkali itu novelnya yang ke-11 atau ke-12. Sebelum itu novel 'Nenek'nya telah terpilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia bagi tahun 2014. Suatu kemenangan yang tak dijangka oleh sesiapa pun, kerana tema dan persoalan yang dibawanya amat kritikal terhadap pentadbiran kerajaan Malaysia hari ini.

Saya telah beberapa kali menulis mengenai novel itu dan Paksi pun telah menganjurkan suatu forum membincangkan novel itu dari sudut pembangunan – konsepnya dan pelaksanaannya di negara ini, dan bagaimana novel itu menganalisis perkara tersebut.

Razali mengangkat proses 'transformasi' kampungnya sendiri di Melaka, daripada kampung tradisional Melayu akhirnya menjadi taman perumahan moden yang lengkap dengan segala keperluan komersil dan prasarananya. Dia menyorot bagaimana kapitalis dan kapitalisme (termasuk mekanisme rasuah) memainkan peranan mengubah persekitaran dan nilai-nilai kehidupan kita.

Dalam perkumpulan Paksi (Seniman Paksi Rakyat), yang ditubuhkan tahun 2008, Razali adalah seorang daripada pengasasnya, dan terus memainkan peranan penting menggerakkan NGO ini, dan terus aktif walaupun setelah dia mengalami sakit jantung dan sebagainya. Semangat waja yang ditunjukkannya itu menjadi motivasi kepada rakan-rakan AJK yang lain.

Saya bukan sahaja mengharapkan semangat wajanya itu dicontohi, tetapi lebih penting daripada itu ialah semangatnya berkarya dan juga disiplin diri yang dijalaninya, membuatkan dia diam tak diam menghasilkan novel demi novel dan cerpen demi cerpen, mengalahkan rakan-rakan yang lain, walaupun usia 75-nya jauh melebihi rakan-rakan lain.

Sikap pendirian bebasnya terhadap parti-parti politik adalah konsisten daripada awal penubuhan Paksi hinggalah kini. "Ah, semua parti politik sama saja." Itulah ungkapan yang selalu diulangnya sejak dulu. Dan pendiriannya ini turut mempengaruhi rakan-rakan Paksi, termasuk diri saya sendiri.

Selain aktif bersama Paksi, Razali Endun juga aktif bersama Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Melaka, dan pernah menjadi Ketua Satu badan sastera dan budaya tertua itu. Kerana peranannyalah maka hubungan antara Paksi dan IPM terjalin mesra dan pernah beberapa kali Paksi terlibat dalam program yang dianjurkan IPM.

Saya antara lain akan mengingat Razali sebagai rakan Paksi atau Paksiwan yang paling awal memahami dan terus berusaha mengangkat faham atau falsafah 'Tekad Budaya' agar difahami dan dihayati oleh lebih ramai seniman dan budayawan.

Usahanya memperjuangkan fahaman Tekad Budaya itu akhirnya diolah dan diterapkannya di dalam novel terbarunya yang belum terbit itu – "Beringin Tua". Begitu berkesan sekali dia menerapkan pemikiran dan fahaman Tekad Budaya itu hingga saya menganggap novel ini sebagai "Novel Tekad Budaya".

Dalam beberapa hal novel ini akan memudahkan orang ramai memahami maksud Tekad Budaya, dan boleh melihat bagaimana realiti kehidupan yang dipengaruhi oleh peranan yang dimainkan oleh seni-budaya.

Maka saya berharap pihak Paksi akan mengambil tanggungjawab bagi memastikan manuskrip ini akan diterbitkan, dan menjadi "Novel Tekad Budaya" yang pertama dihasilkan.

Itulah belasungkawa untuk Razali Endun, yang ditakdirkan tidak sempat melihat novel pentingnya itu diterbitkan. Nasiblah dia sempat menyerahkan manuskrip itu ke tangan saya.

Sehari sebelum tarikh yang dijanjikan kami akan usahakan penerbitannya itu, anaknya menalefon saya minta batalkan rancangan tersebut, kerana ayahnya Razali Endun terpaksa berada dalam wad di Hospital Ampang. Saya pun segera teringat beberapa hari sebelum itu dia mengadu sakit yang amat sangat, hingga menanti hari nak siang pun diumpamakannya seperti 100 tahun lamanya.

Malam itu, ketika lewat malam, dua kali dia mengadu demikian dalam status fesbuknya. Tentunya dia mengalami kesakitan yang teramat sangat. Kalau tidak takkan dia sampai hendak mengadu demikian di laman sosial.

Esoknya saya beritau Kassim saya hendak ke rumah Razali di Taman Gombak. Kassim setuju ikut sama. Sesampai di rumahnya saya melihat keretanya tak ada. Rupanya dia berada di kampungnya di Melaka. Memang sudah lama dia mengalami sakit tekak. Sudah setahun, katanya, tak mahu sembuh.

Saya pun kebetulan agak terbatas sedikit pergerakan pada minggu itu, di samping keadaan kesihatan diri yang agak lemah saya telahpun ada beberapa komitmen lain bersama kawan-kawan Paksi (termasuk program Ziarah Seni dan sebagainya). Hinggalah pada hari Khamis 16 Februari, agak berkelapangan dan sihat, saya mengajak Nasser ke Hospital Ampang.

Nasser kebetulan ada urusan pada petang itu, lalu mengajak saya pergi keesokan harinya. Memang tak siapa tahu takdir yang telah diatur dengan ketentuan Allah. Malam itu sekitar jam 8.37 Razali Endun telah dijemput Allah ke alam abadi. Saya segera beritahu Nasser, Kassim dan kawan-kawan lain. Kami bergegas ke hospital, dan sempat menunaikan solat jenazah, sebelum jenazahnya dibawa ke Melaka kira-kira jam 11.30 malam.

Esoknya kami sama-sama mengiringinya ke persemadian akhirnya di perkuburan Bertam Malim, Melaka. Semoga Allah mengampuni segala dosanya dan meredai hidupnya. Amin!

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: