Pertemuan Seni di USAS Kuala Kangsar

Naib Canselor  Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Tan Sri Nordin Kardi.

Kadang-kadang kita tak jangka apa yang berlaku. Kita rancangkan sesuatu tiba-tiba ada halangan dan yang lain pula yang terjadi.

 Agak lama juga perancangan untuk menyambut Hari Puisi Dunia dibuat oleh Yayasan Usman Awang (YUA) yang diketuai sendiri oleh Pengerusi Lembaga Penasihatnya Dr Syed Husin Ali. Pada mulanya dia mengajak Ziarah Karyawan (ZK, pimpinan Yassin Salleh) dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bekerjasama menganjurkannya.

Kemudian dilibatkan pula Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), untuk menganjurkan seminar bersempena dengan sambutan Hari Puisi Dunia 21 Mac, dengan menjemput sebilangan peserta dari Indonesia dan Singapura.

Dalam mesyuarat bersama pada kali pertama nampaknya perancangan berjalan lancar. Tetapi dalam mesyuarat berikutnya, wakil kepada dua institusi sastera terbesar itu menyatakan mereka dilarang ikut serta dalam sambutan Hari Puisi Dunia itu sekiranya Paksi atau Dinsman ikut sama terlibat dalam penganjurannya.

Syed Husin pun bagi pihak YUA menerima makluman itu, lalu mencadangkan supaya dipisahkan program itu menjadi dua. Satu, persembahan puisi akan dianjurkan oleh YUA, ZK dan Paksi, dan akan dibuat di Shah Alam; manakala seminarnya Paksi dan ZK tidak terlibat, sebaliknya ia dianjurkan oleh YUA bersama dengan ITBM dan DBP, dan akan dibuat di DBP.

Menjelang mesyuarat bagi membincangkan hal seminar itu, pihak YUA mendapat khabar yang disampaikan (secara lisan) melalui salah seorang Lembaga Penasihatnya, Dr Siti Zainon Ismail, bahawa dua institusi besar sastera-budaya Malaysia itu menarik diri daripada penganjuran seminar berkenaan.

Sementara itu, berikutan penolakan penglibatan Paksi tadi, saya telahpun menghasilkan sebuah puisi bagi menyatakan ketidakfahaman saya terhadap peristiwa tersebut, yang kebetulan ketika itu saya teringat kepada seorang sahabat, yang saya ingin bercakap hal itu dengan dia. Begini puisi yang berjudul "Sahabat Saya Tan Sri" itu:

"Sahabat saya tan sri/ apa telah terjadi negara kita ini?/ saya semakin tak mengerti.

"Ingin saya ceritakan satu peristiwa/ perancangan satu program seni-budaya/ melibatkan YUA Paksi Zekkey dan/ dua institusi besar sastera-budaya.

"Dalam satu mesyuarat, wakil institusi/ memaklumi mereka diarah kementerian/ tarik diri, sekiranya Paksi atau saya/ terlibat menganjur bersama.

"Terkejut tergamamlah saya/ apa terjadi negara ini sebenarnya/ saya sebut di sini pun satu hanya/ tan sri tahu banyak lagi tentunya/ peristiwa pelik dan tak cerdik.

"Dan saya pun tiba-tiba teringat/ bercerita kepada tan sri sahabat saya/ perihal keanehan dan keganjilan ini/ dan kita sebagai bersahabat."

Setelah menghantarnya kepada Tan Sri Nordin Kardi, sahabat saya itu, puisi itupun saya muatnaik ke fesbuk, pada tarikh 21 Februari, 8.40 malam. Esoknya 22 Februari pagi, Nordin Kardi menjawab di ruangan komen: "Tak ada ulasan. Tunggu kita buat saja. Ya kita buat saja."

Saya balas: "Baiklah tuan (tan sri) Nordin Kardi. Tunggu kita buat saja. Ya kita buat saja."

Petang itu jam 6.05, sahabat saya itu menulis lagi di ruangan komen fesbuk saya: "Kita pernah bincang nak buat perkampungan puisi di Kuala Kangsar. Saya cadangkan kita buat minggu pertama April. Boleh datang dari seluruh negara. Penginapan saya beri percuma. Seadanya di kolej kediaman pelajar kami. Boleh buat macam-macam. Forum budaya. Debat budaya. Nyanyi puisi. Apa saja. Tak kira parti tak kira mazhab. Boleh tuan?"

Tanpa menunggu saya jawab dia mesej lagi: "Tarikh boleh 31 Mac dan 1 dan 2 April atau 7, 8 dan 9 April. Kita boleh beraktiviti seni apa saja - baca puisi, cakap-cakap, melukis, buat arca dan sebagainya. Di kampus atau di bandar KK. Semua yang hadir kita bekalkan bawa pulang Sijil Universiti Sultan Azlan Shah. Kepada yang nak daftar buat Master, PhD atau BA di USAS (Universiti Sultan Azlan Shah) saya boleh keluarkan surat tawaran masa itu juga."

Lalu saya jawab beberapa minit kemudian: "Terima kasih tuan. Saya sangat menghargainya. Nanti saya bincang dengan kawan-kawan Paksi dan ZK akan tarikh yang sesuai antara dua itu."

Begitulah alkisahnya, kemudian dipersetujui tarikhnya 7-9 April. Dan pada hari Khamis 9 Mac saya bersama Kassim, Nasser dan Ilhami disambut oleh Tan Sri Nordin Kardi di pejabatnya selaku Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, untuk bersarapan dengannya sambil membincangkan program Pertemuan Seni ini, dan kemudian dibawanya melawat bandar Kuala Kangsar, melihat beberapa tempat yang sesuai untuk aktiviti selama tiga hari nanti.

Begitulah, walaupun dia pernah berkata kepada saya sebelum itu untuk menganjurkan bacaan puisi dan forum budaya di USAS, saya sama sekali tidak menjangka yang dia akan bertindak secepat itu sebagai respon kepada puisi saya yang bercerita peristiwa pelik dan ganjil dua institusi rasmi kerajaan mengenai sastera-budaya itu.

Tan Sri Nordin Kardi adalah seorang sahabat saya yang pro-kerajaan BN dalam banyak perkara, tetapi dalam hal seni-budaya dia telah melakukan banyak perkara kepada saya dan kawan-kawan saya yang tidak menyokong kerajaan BN. Kami saling mengenali diri masing-masing sejak sama-sama aktif dalam teater tahun-tahun 80-an; dan kami terus mengekalkan hubungan baik itu tanpa melibatkan permainan politik.

Sewaktu menjadi Naib Canselor di Universiti Utara Malaysia (UUM) kami pernah mengadakan Pertemuan Teater 2006 selama empat hari pada 11-14 Ogos, (bersama Istana Budaya juga, ketika di bawah Datuk Azhar Abu Bakar), menghimpunkan lebih 100 orang peminat teater dari seluruh negara, di kampus UUM Sintok.

Kali ini di Kuala Kangsar hendaknya pertemuan ini akan menjadi lebih bermakna, lebih berkesan dan lebih berfaedah lagi. Insya-Allah!

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel