Akhirnya RUU 355 hanya sandiwara, alat kempen pilihan raya

Abdul Hadi Awang Parlimen 2Abdul Hadi Awang Parlimen 2

APA nak dikata, segala-galanya makin terang dan nyata dan apa yang acapkali dikata sebagai sandiwara sebelum ini, nyata tidak dapat disembunyikan lagi.

Begitulah apa yang terzahir di penghujung cerita di sebalik permainan UMNO dan Pas dalam menjadikan Akta 355 sebagai alat dan geli-gelian untuk rakyat jelata.

Ketika Hadi Awang diberi laluan untuk membentangkan usul pindaan Akta 355 di Parlimen semalam dan kemudian Takiyuddin Hassan panjang lebar bangun menyokong, segala-galanya jadi anti-klimaks apabila Speaker, Pandikar Amin Haji Mulia menangguhkan perbahasan seawal jam 4.00 petang untuk disambung ke sesi Parlimen seterusnya yang dijadual bermula 24 Julai akan datang.

Jika sehari sebelumnya, Parlimen bersidang selama 20 jam sehingga 5.00 pagi dengan terakhir berjaya meluluskan rang undang-undang cukai pelancongan, sebaliknya adalah amat memalukan Akta 355 yang berkait dengan kepentingan memartabatkan Islam telah ditamatkan pada jam 4.00 petang iaitu sebelum pun matahari tenggelam lagi.

Jika benar perundangan Islam ingin dibangun serta ditegak dan dijadikan kenyataan, kenapa tidak dibenarkan perbahasan dan seterusnya diikuti dengan pengundian?

Lebih menyerlahkan niat untuk menjadikan Akta 355 sebagai sandiwara politik ialah dengan tindakan Speaker yang membuat keputusan itu semata-mata kerana bangga itu adalah kuasa yang ada padanya, kemudian lantas bangun dan terus meninggalkan tempat duduknya.

Terlihat bahawa beliau tidak mampu terus mempamerkan wajah dan air muka lakonannya yang turut menjadi alat untuk menjayakan pementasan sandiwara Islam itu.

Kononnya ada Ahli Parlimen Pas yang menangis dan beberapa kali mengesat air mata kerana kejayaan Hadi membentangkan usul pindaan itu, malangnya pemimpin yang sama tidak berkata apa-apa, malah dilaporkan cuma tersenyum dengan tindakan Speaker menangguhkan perbahasan itu.

Tindakan pemimpin-pemimpin Pas tidak membantah apa yang dilakukan Speaker adalah sama ketika mereka cuma diam apabila minggu lalu Najib memungkiri janjinya untuk menjadikan Akta 355 sebagai usul kerajaan yang membolehkan ia lebih mudah untuk dilulus dan dikuatkuasakan sebagai rang undang-undang.

Bukankah sepatutnya mereka melompat dan memberontak apabila ia ditangguhkan yang bermakna usaha meletakkan perundangan Islam terus terbantut lagi?

Adakah Pas terlalu baik hati dan begitu toleransi terhadap Umno dan kerajaan atau sikap itu memang sudah ada persetujuan bersama dan nilainya pula bukan percuma?

Dengan menangguhkan perbahasan ke sessi Parlimen akan datang yang bermula 24 Julai, ia tidak lain akan menjadikan Akta 355 terus dipanjangkan lagi sebagai alat sandiwara politik untuk tujuan memenangi pilihanraya.

Bermula sehari dua ini, Pas pasti akan naik ke pentas-pentas ceramah mendabik dada mengatakan perjuangan mereka untuk memartabatkan Islam sudah pun berjaya. Ia kononnya hanya menunggu masa untuk menjadi kenyataan dan dengan itu menyeru agar sokongan terus diberikan kepada mereka.

Muktamar Pas hujung bulan ini di Kedah pastilah juga meriah dengan perkara yang sama. Dalam masa yang sama, mereka yang didakwa cuba menghalang dan melengah-lengahkan pembentangan usul Hadi itu akan terus diperbesar-besarkan salah mereka.

Di pihak Umno pula, tentunya Najib Razak yang kekal diselubungi dengan skandal kewangan terbesar dunia melalui 1MDB akan cuba digambarkan sebagai pemimpin yang amat cintakan perundangan Islam dan ingin menegakkan syiar Islam dengan iltizam yang tinggi serta mengalahkan semua Perdana Menteri yang ada sebelum ini.

Umno yang dulunya dikata assabiyah dan ahli-ahlinya dikafirkan oleh Pas serta merta akan dijulang gambarannya sebagai sebuah parti yang sanggup bekerjasama atas nama Islam dan kepentingan ummah.

Hakikatnya, semua permainan ini adalah untuk kepentingan kuasa dan menang pilihanraya semata-mata. Umno dan Pas kini sama-sama berpakat untuk membuatkan rakyat terus geli dengan menjadikan Islam sebagai alat permainan dan untuk mementaskan drama yang mereka saling bekerjasama.

Menangguhkan perbahasan Akta 355 sehingga ke penghujung Julai dan berlarutan sehingga Ogos apabila sessi Parlimen bermula, bermakna paling mungkin PRU 14 akan diadakan pada Ogos atau September tahun ini.

Akhirnya apabila Parlimen dibubarkan dan pilihanraya diadakan, perbahasan akan tertangguh lagi sehingga tidak tahu bila tarikhnya. Najib dan Umno yang bimbang penolakan serta bantahan parti-parti komponen BN terhadap Akta 355 akhirnya berjaya mewujudkan suasana menang-menang iaitu BN tidak berpecah dan Pas dapat dijinakkan untuk terus bermusuh dengan semua parti dalam blok pembangkang serta kekal sendirian bagi pertandingan tiga penjuru benar-benar menjadi kenyataan.

Yang malang dan aib sebenarnya ialah Islam. Dulu Pas mengaku mereka berjuang atas nama Islam dan Umno juga mengatakan merekalah penegak syiar-syiar Islam, meskipun didakwa assbiyah, taghut dan sebagainya.

Kini, kedua-duanya, Umno dan Pas saling berpakat dan tolong-menolong dengan menjadikan Islam sebagai alat dan permainan, bukan untuk ditegakkan dan dijadikan syiar perundangan, sedang yang terserlah untuk dikejar tidak lain ialah kuasa dan kemewahan dunia.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel