Apakah yang dimaksudkan Jemaah Muslimin

Kewujudan parti politik, pertubuhan dan persatuan Islam tidak boleh mendakwa pertubuhan atau jamaahnya sebagai jemaah Islam yang mewakili semua penganut agama Islam kerana ianya hanya bersifat semasa dan mewakili kumpulan tertentu sahaja.Kewujudan parti politik, pertubuhan dan persatuan Islam tidak boleh mendakwa pertubuhan atau jamaahnya sebagai jemaah Islam yang mewakili semua penganut agama Islam kerana ianya hanya bersifat semasa dan mewakili kumpulan tertentu sahaja.

Akhir akhir ini ramai yang mendakwa dan beranggapan kumpulan mereka sebagai " Jemaah Islam" yang wajib menggabung diri dengannya. Apa apa penentangan dan perbezaan dengan kumpulan ini dianggap menyeleweng dan terkeluar dari Islam.

Al Imam Al Syatibi, ketika mengupas hadis hadis berkaitan jemaah Islam ini dan hukum berkaitannya menyimpulkan bahawa Jemaah Islam/Muslimin ialah;

i) Keseluruhan ummat Islam yang telah sepakat atas sesuatu perkara dan para pengikut agama lain diwajibkan mengikuti mereka,
ii. Jemaah Islam ialah masyarakat umum yang menganut Islam,
iii. Jamaah Islam ialah kelompok ulama mujtahidin,
iv. Jamaah Islam ialah masyarakat Islam yang telah menyepakati seorang amir/ketua negara yakni negara Islam,
v. Jamaah Islam ialah para sahabat Nabi SAW.

Berdasarkan kesimpulan ini, Jamaah Islam ialah jemaah orang orang Islam yang telah menyepakati melantik seorang khalifah/amir untuk mengetuai sebuah kerajaan/pemerintah. Persepakatan inilah menyebabkan wujudnya Majlis Syura, kepimpinan dan lain lain untuk mengurus sebuah kerajaan.

Realitinya hari ini jemaah muslimin telah tiada bila berakhirnya pemerintahan Khalifah Othmaniah di Turki tahun ini 1924. Apa yang ada hari ini ialah jemaah sebahagian daripada orang orang Islam dan negara bagi sebahagian orang Islam yang diwujudkan mengikut bangsa dan geografi.

Apabila Negara untuk seluruh ummat Islam tidak lagi wujud, maka penganut Islam telah dipecahkan mengikut bangsa dan negara, bukan lagi bersempadankan aqidah. Oleh itu sebarang ketidaktaatan pihak lain kepada satu pihak yang lain, sama sekali kali tidak boleh dianggap telah terkeluar dari jamaah Islam dan boleh menyebabkan aqidahnya terjejas kerana tidak wala dan patuh kepada ketua yang hanya dilantik oleh sebahagian kecil sahaja dari penganut agama Islam.

Kewujudan berbagai parti politik, pertubuhan dakwah, persatuan sosial dan seumpamanya, walaupun ditubuhkan atas dasar Islam dan bertujuan untuk memperjuangkan Islam, tidak boleh mendakwa pertubuhan atau jamaahnya sebagai jemaah Islam yang mewakili semua penganut agama Islam kerana ianya hanya bersifat semasa dan mewakili kumpulan tertentu sahaja.

Pertubuhan pertubuhan ini hanyalah seumpama mazhab mazhab dalam ilmu feqah atau aliran pemikiran dalam ilmu kalam yang mewakili kelompok mereka. Sudah tentu mereka kagum dan taksub dengan kelompok mereka, namun tidak boleh memaksa kelompok lain untuk bersama mereka.

Perbezaan pemikiran, uslub dan sebagainya tidak boleh disifatkan sebagai perbezaan aqidah dan syariah. Ianya sama sekali tidak mewakili satu kelompok yang akan ke Syurga daripada lebih 73 kelompok yang berpecah dalam agama Islam yang akan ke Neraka seperti yang digambarkan oleh Rasulullah saw.

Hindarilah pemikiran khawarij moden dan budaya takfiri yang akan merosakkan dan melemahkan ummat Islam sendiri. Kita bebas untuk berbeza parti politik atau badan dakwah dan juga persatuan kemasyarakatan, namun perbezaan ini tidak akan membawa atau menunjukkan kita berbeza syariah dan aqidah Islamiah.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: