Mengapa cemburu terhadap Pakatan Harapan?

Pas Kelantan

Membaca tulisan Naib Presiden Pas, Haji Idris Ahmad yang berasa pelik apabila Pakatan Harapan ingin menawan Kelantan, bukan negeri lain yang ditadbir Umno, saya juga turut berasa pelik bagaimana Idris boleh membuat kesimpulan begitu, Pakatan Harapan telah bergerak pantas di setiap negeri termasuk Johor, Kedah, Perlis , dan lain lain negeri dalam usaha untuk merampas kekuasaan kerajaan negeri dari tangan Barisan Nasional.

Disebut "hendak menawan Kelantan" adalah kerana majlis itu diadakan di Kelantan dan dihadiri ramai pengunjung dari negeri Kelantan, maka wajarlah disebut sebut dalam majlis itu, usaha Pakatan untuk menawan Kelantan dari Pas, dan jika majlis itu diadakan di Johor, tentu sahaja kita akan menyebut usaha dan hasrat kita untuk menawan Johor.

Idris juga membuat tohmahan DAP akan menentukan hala tuju Pakatan Harapan berbekal ucapan Lim Kit Siang yang "istiharkan" Husam Musa, bekas orang kanan almarhum Tuan Guru Nik Aziz, sebagai menteri besar yang baru sekiranya Pakatan berjaya menawan Kelantan pada PRU yang akan datang. Hakikatnya "pengistiharan" Husam sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan menang di Kelantan adalah "sihir politik" sebagaimana telah disebut penulis politik terkenal, Mohd Sayuti Omar.

Pengistiharan Husam sebagai menteri besar adalah sama seperti pengistiharan Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah jika Umno menangi Kedah pada PRU13, iaitu bertujuan untuk menarik sokongan dan keyakinan rakyat dengan membawakan ikon besar sebagai pemimpin negeri, strategi ini ternyata berjaya di Kedah apabila Umno berjaya menawan Kedah kembali dari tangan Pas, maka bagaimana pembacaan politik Idris begitu cetek untuk membaca tindakan Lim Kit Siang itu?

Tohmahan DAP yang menentukan hala tuju Pakatan adalah tohmahan membabi buta yang dibuat dengan niat jahat demi kepentingan politik Pas dan Umno, DAP adalah kompenen Pakatan Harapan yang meletakkan paling sedikit calon dalam pilihan raya, tiada asas sedikit pun tuduhan itu melainkan ia hanya mengulangi tuduhan Umno terhadap Pakatan Rakyat yang disertai Pas satu ketika dahulu.

Idris turut persoalkan, adakah jika Pakatan Harapan menang di Kelantan, adakah Pakatan akan kekalkan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dan adakah semua syiar islam dan program berciri islam akan dikekalkan, atau sebaliknya menjadi seperti Terengganu selepas UMNO merampas kerajaan Terengganu dari Pas pada 2004, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 disimpan begitu sahaja.

Sebelum menyentuh persoalan itu, satu perkara yang saya ingin Haji Idris dan pimpinan Pas Terengganu jawab, mengapa, apabila Adun Batu Burok, Dr. Syed Azman mengemukakan notis usul supaya DUN Terengganu membincang semula serta meneliti Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu yang diluluskan dizaman Pas menjadi Kerajaan Terengganu, mengapa tindakan murni itu dikecam oleh pimpinan Pas Negeri bahkan tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila usul tersebut ditolak? Mengapa yang dimarahi adalah Dr. Syed Azman bukan Speaker Dewan dari BN?

Berbalik pada soalan adakah Pakatan Harapan akan kekalkan Enakmen Jenayah tersebut, katak bawah tempurung pun tahu bahawa wakil rakyat Pakatan Harapan dari parti AMANAH, mereka sendiri berusaha untuk memperkasa mahkamah syariah melalui usul yang dibawa ke parlimen namun ditolak Speaker Dewan Rakyat, jadi tiada isu enakmen itu dihapuskan bahkan penambahbaikan akan terus dilakukan agar mahkamah syariah bukan sahaja akan diperkasa bahkan dilihat adil dan saksama di mata rakyat.

Satu hal yang saya setuju dengan Haji Idris adalah, kita percaya rakyat Kelantan tidak akan rela pembangunan Islam yang dibina selama ini dimusnahkan, pembangunan Islam yang dibina almarhum Tuan Guru Nik Aziz tidak harus dirosakkan dengan kerakusan pihak tertentu yang merosakkan alam melalui aktiviti pembalakan yang melampau, pembangunan Islam yang dicemari dengan penindasan terhadap penduduk kampung, pembangunan islam yang dirosakkan dengan bebanan hutang negeri yang melampau, maka Pakatan Harapan akan membawa agenda, membangun Kelantan dengan islam, bukan hanya pada slogan dan dijadikan tunggangan politik semata mata.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel