1.2 juta pengundi bakal tentukan kerajaan baharu Sarawak esok

Oleh ARIF ATAN

Seramai 1.2 juta pengundi di Sarawak bakal menentu siapakah parti yang bakal berjaya membentuk kerajaan negeri untuk tempoh lima akan datang apabila Hari Pengundian berlangsung esok.

Untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini, seramai 349 calon telah bertanding sekali gus merupakan yang teramai selepas hanya 229 calon pada PRN-11 pada 2016.
Semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi rebutan membabitkan 10 parti politik serta calon Bebas serta tiada kerusi dimenangi tanpa bertanding pada Hari Penamaan Calon 6 Disember lalu.

Pada PRN12 kali ini juga, tiada lagi lambang dacing atau Barisan Nasional (BN) digunakan setelah pembentukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 2018 tetapi telah menggunakan logo GPS.

Ini ekoran pertukaran pimpinan di peringkat Kerajaan Pusat pada 12 Jun 2018 yang menyaksikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) telah mengambil keputusan keluar daripada gabungan BN ketika itu.

Sejumlah 10 parti politik termasuk yang baharu kali pertama menyertai PRN Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar).

Turut menyertai PRN-12 adalah parti DAP, PKR, Parti AMANAH Sarawak serta PAS.

Namun, PAS hanya bertanding di satu kerusi iaitu di DUN Beting Maro sahaja.

GPS menjadi satu-satunya parti yang meletak calon di semua 82 kerusi, diikuti PBK yang bertanding di 73 kerusi, PSB (70 kerusi), PKR (28), DAP (26), Aspirasi (15), PBDSB (11), AMANAH (8), Sedar (5) selain calon Bebas bertanding di 30 kerusi.

Bagaimanapun, seorang calon Bebas iaitu Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang sebelum ini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menarik diri.

Ali memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada PRN 2011 dan 2016, namun menyertai Bersatu selepas ‘Langkah Sheraton’.

Berikutan penarikan Ali, persaingan di DUN Kerian kini hanya melibatkan calon GPS, Friday Belik, Musa Dingga (PSB) dan Danny Kuan (PBK).

Pada PRN-11 2016 kerusi DUN Sarawak, memerlukan majoriti mudah 42 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, manakala bagi mendapat majoriti dua pertiga, perlu menang tidak kurang 55 kerusi.

Esok, sebanyak 1,866 Pusat Mengundi dan 3,555 Saluran dibuka dengan seramai 46,565 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Dato Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

“Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang telah diwartakan,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

“SPR juga ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRN12 kali ini.

“Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” tegas beliau.

Jelasnya lagi, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka separuh (face mask), melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi kelak. Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat (4) stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi, ‘ katanya.

Beliau menegaskan kepada semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi tidak memakai baju / topi / pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material yang mempunyai nama / simbol / gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki Pusat Mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” tambahnya.