Setiap manusia yang beragama Islam pastinya mahu menjejaki Tanah Suci meskipun hanya sekali seumur hidup.
Betapa seronoknya dapat pergi bersama ahli keluarga dan sahabat terdekat pastinya momen melakukan ibadah itu lebih indah.
Disebabkan itu pelawak, Mamat Sepah menganggap niat dan hadiah daripada Shuib Sepah untuk menunaikan umrah bersama sebagai satu benda berharga dalam persahabatan mereka lapor Harian Metro.
“Saya pernah menghilang selama 13 tahun, jadi saya tiada detik istimewa dengan Shuib, jadi bila kami bertemu kembali kami hanya bekerja.
“Kami pun tak pernah pergi bercuti lagi dan dia juga ada cakap ketika dia berada di Makkah baru-baru ini, alangkah seronoknya dapat pergi bersama saya.
“Dalam hati, saya katakan kalau saya dapat pergi dengan dia, inilah waktu kemuncak persahabatan kami. Ini bukan soal duit.
“Tapi pasal masa sebab waktu rakaman kami bersama, tapi bila kami tiada rakaman, Shuib sibuk. Dia pun ada keluarga dia sendiri,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, Shuib yang sudah mengenali Mamat sebelum bergelar selebriti terkenang kembali episod perselisihan faham yang berlaku 13 tahun lepas.
“Jadi bila dapat bersama dia balik selepas 13 tahun kami ‘bercerai’ dan ada perselisihan faham, saya buat ‘podcast’ dan dia datang dan sekarang kami berjalan dan cari rezeki bersama-sama.
“Saya nampak ada sesuatu yang istimewa antara kami bila kami ke Makkah dan Madinah nanti. Saya pun bukanlah tiada kawan tapi tak ramai yang betul-betul baik sangat susah,” tambahnya.
Jelasnya, usia mereka sudah memasuki 40-an dan berharap ini adalah permulaan baik buat dia dan rakannya.
“Ini adalah masa untuk persahabatan kami, ialah kami pun sudah masuk 40-an. Betullah orang cakap kehidupan mula pada usia 40 tahun, jadi harap permulaan ini adalah lebih baik buat kami.
“Saya pergi umrah sebelum ini pun bersama keluarga, dan kali ini istimewa sebab saya bersama kawan baik saya.
“Itulah sebab saya pergi umrah baru-baru ini pada November lalu, saya terlintas dalam hati seronoknya kalau ada Mamat,” katanya.
Baca juga: Rezeki tak salah alamat, pemuda kongsi bagaimana dari kerja ‘pak guard’ kini jadi pramugara