14 individu yang terbabit dalam jenayah terancang iaitu kumpulan ‘Geng Nicky’ dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi semalam.
Mahkamah juga melepaskan empat warga China dan dua dua adik kepada ahli perniagaan yang masih diburu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Dua tertuduh yang merupakan adik Nicky ialah Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon.
Manakala tertuduh lain yang berusia awal 20an hingga 56 tahun ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue.
Hakim Datuk Abd Halim Aman dalam keputusannya berkata, mahkamah menggunakan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa mendakwa, tidak mendakwa dan menarik semula pendakwaan adalah berkait dengan kuasa pihak pendakwa raya.
Pihak pendakwaan dilaporkan telah memohon agar kesemua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan kerana pendakwa berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang, kata Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.
Muhamad Iskandar berkata, siasatan awal yang dijalankan pendakwaan tidak lengkap dan pihak peguam juga telah menghantar representasi berhubung pertuduhan itu kepada Jabatan Peguam Negara.
“Peguam Negara telah meneliti representasi tersebut dan bersetuju untuk menarik balik kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu.
Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 20 Mac 2021.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 29 Mac 2021 mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.