Seramai 1,993 guru yang menolak vaksinasi Covid-19 memberi alasan termasuk tidak percaya pelalian itu, isu menyentuh agama, pasangan tidak membenarkan pengambilan vaksin serta masih belum bersedia.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, jumlah itu merangkumi 2,753 guru yang menolak untuk menerima vaksin setakat semalam.
Menurutnya, jumlah selebihnya iaitu 760 guru lagi tidak dapat menerima pelalian itu kerana mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kronik, mengalami alahan, mengandung atau menyusukan anak, merancang kehamilan dan bekas pesakit Covid-19.
Sehubungan itu, katanya, bagi meningkatkan kadar vaksinasi guru yang enggan divaksin disebabkan selain masalah kesihatan atau alasan tidak munasabah, kementerian melalui pentadbir sekolah secara berterusan mengadakan konsultasi untuk memastikan mereka mengambil vaksin.
“Guru yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang sudah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan kepada ketua jabatan masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol di Dewan Negara.
Sehingga semalam juga, katanya, seramai 399,972 orang atau 96.83 peratus guru sudah lengkap divaksin.
Dalam masa sama, Radzi memaklumkan mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0, guru yang lengkap divaksin sahaja dibenar melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.
“Bagi guru yang belum lengkap atau tidak divaksin, mereka dikehendaki melaksanakan PdPR dan tugasan lain yang diarahkan oleh pihak sekolah.
“Mereka juga diwajibkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka semasa berada di kawasan sekolah,” tambahnya lagi.