1MDB langgar syarat sukuk RM2.4 bilion

Oleh BORHAN AHMAD

Rafizi RamliSyarikat pelaburan kedua negara, 1MDB secara jelas melanggar syarat perjanjian sukuk bernilai RM2.4 bilion apabila menjual 60 peratus pegangan dalam projek Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada konsortium swasta yang dianggotai syarikat berkaitan Kerajaan China.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perjanjian terbitan sukuk oleh 1MDB mensyaratkan Bandar Malaysia Sdn Bhd hendaklah kekal menjadi anak syarikat milik penuh 1MDB RE (anak syarikat milik penuh 1MDB).

Perkara ini, katanya terkandung di dalam Perkara 2(w)(i)(12) Perjanjian Terbitan Sukuk RM2.4 bilion oleh 1MDB.

“Pengumuman penjualan 60% pegangan 1MDB di dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada konsortium swasta yang dianggotai oleh syarikat berkaitan Kerajaan China sudah tentu akan menjadikan Bandar Malaysia Sdn Bhd hanyalah syarikat bersekutu (associated company) dan bukannya syarikat milik penuh 1MDB seperti syarat di atas.

“Oleh itu, salah satu tiang utama program rasionalisasi 1MDB yang dijalankan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya melanggar perjanjian terbitan sukuk yang masih berkuatkuasa,” jelas beliau.

Rafizi menambah, dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 18 Mei 2014, Perdana Menteri mengesahkan bahawa Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) turut mempunyai bon yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd.

“Sebelum itu, saya telah mendedahkan bahawa bon yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd dilanggan oleh Tabung Haji.

“Semakan saya dari maklumat umum menunjukkan daripada sejumlah RM1.5 bilion yang diterbitkan di bawah Perjanjian Sukuk RM2.4 bilion ini, sebanyak RM920.8 juta telah dilanggani oleh Tabung Haji dan besar kemungkinan bakinya RM579.2 juta dilanggani oleh KWAP.

“Saya telah mengulangi perkara ini berkali-kali dan tidak pernah dinafikan oleh 1MDB atau Dato’ Seri Najib Tun Razak setakat ini,” katanya.

Menurut beliau, penjualan pegangan 1MDB di dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd yang melanggar syarat terbitan sukuk mengheret Perdana Menteri, pengurusan Tabung Haji dan pengurusan KWAP untuk menjawab perkara-perkara berikut:

1. Jika pengurusan Tabung Haji dan KWAP tidak bersetuju dengan pelanggaran syarat tersebut, kenapa pengurusan Tabung Haji dan KWAP tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 1MDB?

2. Jika pengurusan Tabung Haji dan KWAP bersetuju dengan pelanggaran syarat tersebut, siapa yang memberi kebenaran kepada pengurusan Tabung Haji dan KWAP untuk bersetuju?

3. Bilakah Tabung Haji dan KWAP akan mendapatkan kembali dana yang dipinjamkan kepada Bandar Malaysia melalui terbitan sukuk ini yang setakat ini dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion?

“Skandal ini akan terus menjadi sensitif kerana dana yang tidak dibelanjakan untuk pemindahan dan naiktaraf pengkalan tentera udara itu adalah dana Tabung Haji dan KWAP.

“Jika 1MDB tidak mahu menjawab ke mana dana itu dibelanjakan, saya cabar Dato’ Abdul Rahman Dahlan untuk berdepan dengan rakyat ke mana dana Tabung Haji dan KWAP yang dipinjamkan kepada 1MDB itu dibelanjakan?” tegas beliau.