2017: Daftar mengundi untuk lakukan perubahan

Oleh MALAYSIADATELINE

Sempena tahun baharu 2017, Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Beliau berkata, pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dijangka diadakan pertengahan tahun ini dan mereka yang belum mendaftarkan diri untuk mengundi harus berbuat demikian bagi melayakkan mereka memilih pemimpin negara.

“Perubahan tidak akan berlaku jika kita tidak bersatu tenaga dan usaha. Jika anda atau ahli-ahli keluarga yang sudah mencecah usia 21 tahun masih belum mendaftar sebagai pengundi, silalah segera daftar. Undi itu penentu masa depan negara,” katanya dalam perutusan tahun baharu 2017.

Menurut beliau yang juga Presiden PKR, tahun 2017 perlu dijadikan tahun untuk mengingatkan rakyat bahawa tanggungjawab kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan peranan pembangkang pula ialah memastikan berlakunya semak dan imbang.

“Jangan kita yang dipilih rakyat ini mengharapkan ucapan terima kasih, tapi kita perlu berusaha lebih gigih untuk memastikan wang ringgit rakyat diguna dengan cukup bertanggungjawab untuk menjana suasana dalam negara yang memangkin kemajuan ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi.

Selain itu katanya, institusi-institusi kehakiman, kerajaan, Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan reformasi untuk memastikan kesemua institusi ini tidak disalah guna satu kelompok kleptokrat untuk merompak hasil negara dan memiskinkan masa depan generasi akan datang.