22 syarikat pelancongan diberi Lesen Pengelola Jemaah Haji – TH

Oleh MALAYSIADATELINE

Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyerahkan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 22 syarikat pelancongan tempatan dan anak syarikatnya, TH Travel & Services Sdn Bhd, bagi musim haji 1444H / 2023.

Pengarah Eksekutif TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pemilihan tersebut, bagi memastikan syarikat pelancongan tempatan yang terpilih, memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman mencukupi serta berwibawa, dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji negara.

Jelasnya syarikat pelancongan berdaftar boleh memohon untuk menjadi PJH yang berlesen dan dipilih secara tahunan, setelah memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Malah katanya musim haji kali ini terdapat syarikat PJH yang baharu diluluskan lesen bagi memberi lebih banyak pilihan kepada bakal haji.

“TH ingin mengingatkan semua bakal jemaah haji yang berhasrat ingin menunaikan haji tahun ini, untuk lebih berhati-hati dan memilih pakej yang disediakan oleh syarikat-syarikat PJH yang dilesenkan ini sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saleh berkata bakal haji yang berhasrat ke tanah suci melalui PJH perlu mendaftar dengan syarikat pilihan mereka, selepas menerima surat tawaran menunaikan haji.

Baca Artikel Penuh