Satu rakaman memaparkan keterujaan tiga beradik apabila dibenarkan pulang awal daripada sekolah telah berjaya mengundang sebak pengguna media sosial.
Hal ini berikutan ketiga-tiga murid di sebuah sekolah rendah itu tidak tahu kebenaran untuk pulang lebih awal diberikan kerana bapa mereka baru sahaja meninggal dunia.
Difahamkan, rakaman itu dimuat naik oleh guru kepada salah seorang daripada tiga beradik terbabit menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, @cikguaincomey.
Berkongsi rasa simpati, guru tersebut turut memohon agar orang ramai sedekahkan Al-Fatihah kepada bapa muridnya yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Adik beradik ini diberitahu oleh cikgu untuk mengemas beg mereka (untuk pulang ke rumah) sebab ada urusan keluarga. Sebenarnya, ayah kepada murid-murid ini baru sahaja meninggal dunia.
“(Bapa mereka meninggal dunia) Kerana serangan jantung. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat ayah kepada anak murid cikgu. Salam Takziah,” tulis guru terbabit di keterangan video kongsiannya.
Sangat menyayat hati, video tersebut memperlihatkan tiga beradik berkenaan yang tersenyum lebar apabila mereka dibenarkan untuk pulang awal daripada murid lain.
Mereka juga sempat melambaikan tangan ke arah guru terbabit dan tampak sangat ceria sementara menunggu untuk dijemput pulang ke rumah oleh ibu saudaranya.
Berdasarkan keterangan di ruangan kapsyen, guru tersebut memberitahu bahawa dirinya tidak mempunyai kekuatan menyampaikan khabar duka itu kepada muridnya.
“Cikgu juga tak sampai hati nak beritahu perkara sebenar. Sehingga ada ibu saudara kepada murid ini yang datang ambil. Barulah mereka tahu perkara sebenar, meraung dan menangis.
“Ya allah, kau berikanlah kekuatan untuk anak murid, Azalea dan adik beradiknya,” katanya di ruangan kapsyen video yang berjaya mendapat 2.2 juta tontonan dari pengguna TikTok itu.