3 tahun ‘tinggal’ di atas pokok sebab masalah kewangan

Oleh KIM SYAZIE

Dalam hidup ini, sebenarnya berbagai-bagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi oleh manusia.

Masalah dalam hidup memang akan silih berganti dan kadang-kadang boleh mempengaruhi emosi sampai kita ‘terduduk’ dibuatnya.

Seperti satu cerita yang berlaku di Thailand, seorang lelaki dilaporkan terpaksa tinggal di atas pokok selama tiga tahun disebabkan dia menghadapi masalah kewangan.

Menurut laman berita Thaiger, Charlie yang berumur 38 tahun berkata dia pernah bekerja di Bangkok, dan pada ketika itu mampu menyara diri dan juga keluarganya.

Akibat kesempitan hidup, dia membina sebuah rumah serba ringkas di atas sebatang pokok dengan mengikat kepingan kayu menggunakan tali menjadi lantai, selain kepingan plastik yang dijadikan bumbung.

Rumah pokok yang dibina Charlie berada pada ketinggian 10 meter dari atas tanah.

Selepas kisah hidup Charlie tular di media sosial, media Thailand melawat rumahnya yang terletak di daerah Nampong Khon Kaen.

Setelah gagal menyara hidup, dia kemudian berpindah ke Udon Thani untuk mencari pekerjaan.

Dia kemudiannya menjalankan semua jenis pekerjaan, namun dengan gaji yang diperoleh, ia masih tidak mampu menampung bil sekali gus membuatkan lelaki itu bertindak membayar semua hutang dan memutuskan untuk tinggal di atas pokok.

Sabtu lalu, pegawai Pusat Perlindungan bagi Kemiskinan dan Pembangunan Sosial dan Kementerian Keselamatan Manusia turut melawat Charlie.

Mereka menjemputnya tinggal di penginapan percuma untuk gelandangan di wilayah itu, namun Charlie menolak kerana rumah pokoknya adalah tempat yang dirasakan selesa.

Dia hanya akan berpindah jika pemilik tanah memintanya berbuat demikian.

Menurut Charlie lagi, dia hanya mahukan pekerjaan dan tidak mahu membebankan kerajaan serta orang lain.

Baca Juga: Pelik sambal belacan ada tekstur pasir, lelaki bengang jumpa kulit kerang hancur