3 teras, 5 inisiatif calon Maharani untuk rakyat

Oleh NASUHA RAHMAN

Penyandang kerusi DUN Maharani Nor Hayati Bachok akan mempertahankan mandat dalam PRN Johor kali ini menawarkan Inisiatif Maharani Peduli 2022 – 2027 untuk seluruh rakyat kawasan itu pada pilihan raya kali ini.

Inisiatif tersebut menggariskan tiga teras utama iaitu membina semula ekonomi rakyat Maharani, menjamin kesejahteraan rakyat Maharani dan mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah.

5 inisiatif khusus agenda Maharani Peduli memfokuskan kepada Pendidikan Berkualiti yang menawarkan baucer tuisyen dan simkad percuma untuk pembelajaran, serta inisiatif kedua Wanita Berjaya untuk membantu usahawan suri selain menjadikan pusat khidmat ADUN sebagai pusat sokongan wanita.

3 teras, 5 inisiatif calon Maharani untuk rakyat
3 Teras Maharani untuk rakyat

Inisiatif ketiga pula menawarkan Manfaat OKU dan Warga Emas dengan bantuan kesihatan, susu dan lampin manakala inisiatif keempat Anak Muda Aktif bakal memberi peluang kepada anak muda menjadi usahawan digital di samping insentif e-sports dan fasiliti rekreasi. Menerusi inisiatif kelima, Kesihatan Komuniti, inisiatif #MaharaniPeduli menawarkan kaunseling kesihatan mental percuma kepada rakyat berkelayakan.

Nor Hayati Bachok yang juga Ketua Wanita PH Johor berkata, PRN Johor 2022 memberi peluang kepada rakyat Johor untuk memilih kerajaan selama lima tahun.

“Rakyat berhak mendapat tawaran yang terbaik daripada calon-calon yang bertanding, maka inilah usaha saya menawarkan program-program khusus yang memberi manfaat kepada rakyat Maharani untuk tempoh 2022 – 2027.”

“Dalam teras membina semula ekonomi rakyat Maharani, saya berazam mengusahakan bimbingan percuma usahawan muda digital selain bantuan modal untuk usahawan suri yang menjalankan perusahaan kecil di rumah” katanya ketika dihubungi.

Namun kata Nor Hayati, semua inisiatif ini hanya akan dapat dilaksanakan dengan kemenangan Harapan membentuk kerjaan negeri Johor bagi memastikan semua inisiatif untuk rakyat mendapat peruntukan kerajaan sekaligus dilaksanakan secara sistematik.

Antaranya mengembalikan semula program yang pertama kali diperkenalkan kerajaan Harapan Johor pada sesi 2018 PH seperti Kad Sihat Johor, serta Skim Takaful Warga Emas.

Beliau menyeru semua rakyat keluar mengundi pada 12 Mac ini agar semua tawaran tindakan Harapan di Johor dan khususnya di Maharani merangkumi pentadbiran yang inklusif membabitkan semua Bangsa Johor dapat dilaksanakan tanpa diskriminasi.