Thailand terus menjadi tumpuan utama rakyat negara ini untuk melancong terutama ketika cuti umum dan cuti persekolahan.
Sempena cuti perayaan Deepavali yang bermula Rabu lalu, dianggarkan hampir 300,000 rakyat Malaysia berkunjung ke wilayah itu.
Menurut laporan Bernama, jumlah kehadiran rakyat Malaysia ke Thailand hampir sama dengan yang direkodkan ketika cuti umum lain.
Mereka kebanyakannya masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam yang bersempadan dengan pekan Sadao, Songkhla di samping pintu sempadan di Padang Besar dan Rantau Panjang.
Sementara itu media tempatan melaporkan pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam mengalami sedikit kesesakan pada Rabu lalu kerana orang ramai mengambil peluang bercuti sempena sambutan Deepavali.
Kesesakan itu berterusan sehingga ke hari ini apabila Kosmo! melaporkan, pintu sempadan Malaysia – Thailand di Kompleks ICQS Rantau Panjang ‘diserbu’ rakyat tempatan.
Tinjauan portal itu mendapati, bas persiaran dan kenderaan mula memasuki ICQS Rantau Panjang seawal pukul 7 pagi sehingga mencetuskan kesesakan sepanjang 500 meter.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati merancang perjalanan dan menjaga keselamatan ketika berkunjung ke selatan Thailand.
Beliau berkata, sejak awal Oktober lepas sebanyak 35 serangan dan pengeboman dipercayai berlaku di beberapa wilayah iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Mohd Yusoff mengingatkan pengunjung supaya menggunakan pintu keluar masuk yang sah supaya pihak berkuasa kedua-dua negara dapat bertindak sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Baca juga: Peniaga tepi jalan terkejut ‘influencer’ minta bayaran lebih RM3,000, tawar diri promosi gerai