
Umno dan Barisan Nasional (BN) seharusnya sedar bahawa masalah peminggiran orang Melayu di Pulau Pinang bukanlah isu baru.
Ia telah pun berlaku sejak zaman pemerintahan mereka lagi sebelum menjadi pembangkang sejak tahun 2008 sehinggalah sekarang.
Demikian dinyatakan oleh Setiausaha AMANAH Negeri Pulau Pinang, Mohd Rizal Akhir.
Jelasnya lagi, antara pimpinan Umno-BN yang boleh dikaitkan dengan masalah peminggiran orang Melayu adalah Ahli Parlimen Balik Pulau kini serta bekas Timbalan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Dr Ibrahim Saad.
“Pimpinan Umno wajib buka mata dan melihat dengan fakta dan bukannya dengan fantasi atau khayalan.
“Semasa memerintah Pulau Pinang sebelum 2008, Umno-BN sering menggunakan isu orang Melayu dipinggirkan bagi menakutkan orang Melayu supaya kembali menyokong mereka.
“Malahan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang atau Perda suatu ketika dulu telah secara paksa mengambil tanah sawah orang Melayu di kawasan yang kemudiannya dibangunkan sebagai Bandar PERDA berhampiran Bukit Mertajam,” ujarnya.
Katanya lagi, tanah yang dibayar dengan harga yang sangat murah kemudiannya diserah kepada seorang pemimpin Umno untuk dibangunkan melalui syarikat Aseania.
“Tidak dapat dinafikan melalui penyerahan tersebut pembangunan Bandar Perda telah diserahkan kepada kroni Umno yang pernah menjadi Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia dahulu.
“Akibat daripada pembangunan tersebut, orang Melayu dinyahkan dan dipinggirkan melalui projek yang mereka laksanakan apabila tanah-tanah sawah diambil dengan harga yang murah.
“Tindakan yang sama juga berlaku di sebelah Pulau apabila orang Melayu diketepikan melalui projek pembangunan semasa zaman BN lagi menyebabkan ramai yang terpaksa berhijrah ke Seberang Perai, Kulim dan juga Sungei Petani,” tegasnya.
Menurut Mohd Rizal lagi, di bawah kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008 terbukti nasib orang Melayu lebih baik jika dibandingkan semasa era pemerintahan Umno dan BN.
“Kerajaan negeri kini bukan saja mempelbagai program peduli rakyat malah turut menjaga nasib dan kepentingan orang Melayu termasuklah menyediakan bantuan dan dana melalui pelbagai skim.
“Sejak tahun 2008 peningkatan untuk peruntukan agama Islam juga meningkat jika dibezakan semasa zaman Umno-BN dulu.
“Sebanyak RM457 juta telah pun diperuntukan bagi perkembangan hal ehwal agama Islam sejak 2008 dan meningkat 84 peratus berbanding hanya RM247 juta bagi tempoh yang sama sebelum 2008 semasa BN memerintah,” katanya lagi.
Selain itu tambahnya, peruntukan untuk sekolah agama di Pulau Pinang sejak mulai memerintah negeri ini menjangkau RM55.3 juta
Manakala bagi tahun 2017 sebanyak RM50 juta diperuntukan telah ditingkatkan kepada RM53 juta bagi tahun 2018, katanya.
“Semasa kerajaan negeri memperkenalkan program Agenda Ekonomi Saksama atau AES bagi membantu keluarga miskin, orang Melayu adalah golongan majoriti yang dibantu oleh kerajaan negeri.
“Begitu juga dengan Tabung Usahawan Tani Muda dan pelbagai lagi program yang disediakan banyak memberi manfaat kepada orang Melayu.
“Dakwaan orang Melayu dipinggirkan merupakan antara isu terdesak yang terpaksa dimainkan oleh Umno dan BN menjelang pilihan raya umum yang akan datang setelah menyedari mereka berada dihujung hayat,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu katanya, isu ini akan terus dimainkan bagi mendapat sokongan orang Melayu.
Namun begitu ujarnya, sejarah telah membuktikan Umno-BN tidak akan mampu untuk merampas kerusi yang mereka idamkan selagi kerajaan negeri sedia ada berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai sebuah kerajaan sejak 2008 lagi.