Pempengaruh islamik yang juga pendakwah bebas, Ustaz Adnin mendedahkan bahawa dirinya tidak berkomunikasi dengan isterinya ketika mereka bertunang dalam tempoh empat bulan.
Keputusan itu diambil untuk menjaga ikhtilat atau batas pergaulan di antara mereka selama belum diijabkabulkan berikutan dikhuatiri boleh mendorong kepada perbuatan yang boleh disifatkan sebagai maksiat.
Menurut Ustaz Adnin, ikatan pertunangan yang terjalin di antara pasangan yang belum berkahwin tidak boleh dijadikan tiket untuk mereka berkomunikasi atau keluar secara berdua-duaan.
Perkara itu dikongsikan Ustaz Adnin ketika hadir menjadi tetamu dalam satu program audio siar ataupun ‘podcast’ yang dikendalikan oleh pempengaruh media sosial dikenali sebagai Yousaff.
“Saya bertunang dengan isteri selama empat bulan dan sepanjang tempoh itu, demi Allah tak pernah berhubung dengan dengan dia. Sebab ketika itu, status kami masih bertunang. Belum berkahwin.
“Ramai orang menggunakan alasan status ‘tunang’ untuk beli baju sama-sama atau pergi kursus kahwin naik satu kereta. Sebenarnya, naik kereta berdua-duaan boleh dikira sebagai khalwat tetapi perkara itu telah dinormalisasikan.
“Maaf cakap, sebab inilah zaman sekarang sudah banyak berlakunya ‘phone sex’. Sebab orang tak menjaga ikhtilat dalam berkomunikasi termasuk di platform media sosial,” katanya dalam program tersebut.
Jelas Ustaz Adnin, sebarang perbuatan yang mendorong kepada maksiat tidak boleh dilakukan sebelum berkahwin kerana dikhuatiri boleh membuatkan rumah tangga tidak diberkati selain berlakunya masalah di kemudian hari.
Ustaz Adnin dalam perkongsian itu turut mendedahkan cara dirinya berkomunikasi dengan tunang supaya tidak melanggar batas pergaulan sebelum berkahwin dalam pantauan mahram.
“Siapa kata kalau nak berkahwin, kena bercinta dahulu? Perkara itu bahkan boleh menjadi punca kepada sebuah perkahwinan yang tidak diberkati. Sebab nak buat benda yang halal tapi ‘lalu’ jalan yang haram
“Tak jaga ikhtilat. Sebab itulah banyak berlaku penceraian. Bagaimana saya berkomunikasi dengan isteri yang ketika itu merupakan tunang? Saya buat kumpulan sembang di aplikasi Whatsapp. Ada kami berdua dan mak ayah saya.
“Memang kena ada mahram yang pantau. Sebab kalau berduaan, memang syaitanlah yang ketiganya,” ujarnya dalam sedutan rakaman podcast yang turut dimuat naik semula di laman TikTok oleh pengguna platform tersebut.
Baca juga: ‘Buat apa ada anak kalau tak boleh bayarkan hutang orang tua?’