4 warga asing kantoi hidup mewah di Malaysia, rupanya duduk sini jual dadah!

Oleh MALAYSIADATELINE

Selalunya tak terkejut jika warga asing duduk mewah di Malaysia kerana mata wang di sini jauh lebih murah.

Namun kehidupan mewah empat warga asing ini tidak bertahan lama selepas ditahan polis dalam dua siri serbuan di sekitar bandar raya ini pada 22 Januari lalu.

Menurut Kosmo! Online, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkongsi empat suspek itu ditahan selepas mendapat satu maklumat aripada seorang lelaki tempatan disyaki pengedar dadah.

Empat suspek tersebut dua lelaki dan seorang wanita Singapura serta wanita Thailand berusia 30 hingga 40 tahun ditahan selepas lelaki warga tempatan itu ditangkap kerana melakukan rompakan bersenjata.

Kejadian rompakan tersebut berlaku di sebuah kedai snuker di Stulang Laut, Johor Bharu, 17 Januari lalu.

“Dalam kejadian rompakan itu, suspek menggunakan pisau lipat dan melarikan wang tunai RM1,060 daripada juruwang bertugas.

“Hasil siasatan, polis menangkap suspek di tepi Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini dan merampas beberapa barangan termasuk motosikal Yamaha LC, telefon bimbit dan beg berwarna hitam.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah heroin dan syabu seberat tiga kilogram (kg) yang dibawa suspek.

“Suspek mengaku menjadi ahli sindiket dadah yang didalangi warga asing terbabit,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Susulan itu, polis kemudian melakukan serbuan ke atas sebuah pangsapuri mewah dan menahan keempat-empat warga asing tersebut.

Polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 2.27kg heroin, ganja (1.06kg), ketamin (590.66 gram), serbuk ekstasi (174 gram), syabu (6.3 gram), pil eramin 5 (1.3 gram dan 13.67 liter cecair dadah bernilai RM97,707.86.

Sindiket itu dikatakan sudah beroperasi sejak Disember tahun lalu dengan menjadikan pangsapuri mewah sebagai tempat memproses dadah.

Dalam pada itu, polis turut merampas kereta Maserati Granturismo, Proton Satria, motosikal Honda CBR 150 serta mata wang Dolar Singapura serta Ringgit Malaysia.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM524,227.86.

“Ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek positif dadah. Semakan mendapati lelaki tempatan dan seorang lelaki Singapura mempunyai rekod jenayah,” ujarnya.

Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Januari ini untuk membantu siasatan termasuk di bawah Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Baca juga: Rezeki tak salah alamat, pemuda kongsi bagaimana dari kerja ‘pak guard’ kini jadi pramugara