47 jemaah warga emas dipaksa jalan kaki dari Jeddah ke Makkah, redah bukit dan padang pasir

Oleh MALAYSIADATELINE

Akibat ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal, seramai 47 jemaah warga emas yang berhasrat untuk mengerjakan ibadah malah mengalami mimpi ngeri ketika berada di negara orang.

Mana tidaknya, mereka dipaksa untuk meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah ekoran kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah tanpa visa haji.

Perkara itu dibongkar oleh anak kepada pasangan warga emas yang menjadi salah seorang mangsa penipuan ejen tidak bertanggungjawab terbabit selepas bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji pada 9 Mei lalu.

Menurut anak mangsa dikenali sebagai Sharifah Azzahra itu, warga emas yang menyertai rombongan berkenaan terkejut apabila mereka tidak dibenarkan masuk ke kota Makkah susulan tiada visa haji, lapor Berita Harian.

“Mimpi ngeri 47 warga emas yang menyertai rombongan itu bermula apabila diminta berjalan kaki meredah bukit berbatu, padang pasir, melintasi lebuh raya, melepasi pagar dawai dan kawasan terpencil tanpa pengawasan atau perlindungan keselamatan untuk sampai ke Makkah.

“Saya terkejut apabila ibu yang berusia 64 tahun, ayah (63) dan ibu saudara (54) memaklumkan menerusi WhatsApp, mereka dipaksa meredah laluan berbahaya berjalan kaki bagi mengelak pihak berkuasa Arab Saudi dengan hanya membawa keperluan asas tanpa makanan dan minuman.

“Bagasi ditinggalkan di beberapa tempat. Jemaah warga emas ini juga dibahagikan dalam kumpulan kecil untuk berjalan kaki bagi mengelakkan dikesan malah mereka tidak ditemani oleh lapan wakil ejen yang mengiringi tanpa taklimat keselamatan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sebaik tiba di Makkah, para jemaah dikurung dan dikunci dalam bilik sempit tanpa akses kepada makanan dan rawatan sewajarnya selain dimanipulasi secara psikologi melalui ceramah agama untuk menghalang mereka bertindak balas dengan membuat aduan.

Sharifah Azzahra kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang, Selangor pada petang kelmarin mengenai isu penganiayaan dan penipuan ejen haji berkenaan terhadap mangsa terutama ibu bapanya.

Dedah Sharifah, terdapat warga emas yang menghidap pelbagai sakit kronik memerlukan ubat termasuk insulin namun ditinggal dalam bagasi di tempat lain lalu diminta membayar sebanyak 8,000 riyal (RM9,058) untuk orang lain mengambilnya.

Kejadian tersebut sememangnya cukup mengecewakan memandangkan majoriti jemaah sudah membelanjakan wang lebih daripada RM30,000 untuk membayar pakej untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan.

“Ibu saya memaklumkan semua jemaah ditempatkan di sebuah penginapan di Makkah sebelum diarahkan untuk tidak keluar langsung dan diminta duduk berhimpit di dalam sebuah bilik sempit, bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Layanan daripada segi penyediaan makanan juga amat menyedihkan. Makanan bukan sahaja tidak mencukupi termasuk disajikan nasi mentah serta dua ketul ayam yang terpaksa dikongsi dengan lebih daripada lima orang, selain mi segera sebagai pengalas perut,” kongsinya.

Selain itu, terdapat juga jemaah yang cuba melarikan diri namun mereka membatalkan rancangan itu kerana tidak tahu arah hendak dituju selain tiada dokumen yang sah serta pengetahuan mengenai lokasi keberadaan.

Mereka akhirnya ditahan selepas dikesan pihak berkuasa Arab Saudi ketika dalam perjalanan menuju ke Arafah di mana mereka diminta ejen unntuk mendiamkan diri dan mengaku datang secara individu tanpa dibawa sesiapa.

“Kesemua jemaah termasuk ejen yang mengiringi ditahan hampir seharian dalam bas sebelum akhirnya dilepaskan berikutan Malaysia mempunyai rekod jemaah haji yang baik selain diarahkan terus meninggalkan Arab Saudi serta-merta. 47 jemaah itu bukan sahaja tidak dapat menunaikan haji seperti yang dihajatkan.

“Malah wang yang dibayar kepada ejen hangus begitu sahaja sehingga menyebabkan mereka ralat dan amat sedih. Saya merayu agar pihak berkuasa menyiasat insiden ini. Ambil tindakan tegas terhadap penganjur supaya nasib warga emas yang terpedaya dapat diberikan keadilan sewajarnya.

“Penipuan dan penganiayaan ini bukan sahaja menyusahkan dan mendatangkan trauma kepada mangsa dalam kalangan warga emas, malah mencemarkan imej Malaysia sebagai negara dengan pengurusan haji terbaik dan dikagumi.” Ujarnya.

Sharifah Azzahra memaklumkan, insiden itu memberi pengajaran kepada umat Islam terutama warga emas supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran jalan pintas menunaikan haji walaupun melibatkan agamawan berpengaruh dan terkenal.

Dalam pada itu, Sharifah Azzahra memberitahu bahawa kesemua 47 jemaah warga emas terbabit mungkin akan pulang ke Malaysia pada hari ini selepas tiba di Turkiye pada Rabu lalu.

Baca juga: “Demi keluarga aku sanggup susah, tapi mak tetap kata aku derhaka hanya kerana…”