“Harapkan pagar, pagar makan padi”, itulah peribahasa sesuai untuk menggambarkan situasi dialami seorang ibu apabila anaknya diperkosa oleh suami baharunya ketika wanita terbabit tiada di rumah.
Lebih memilukan, bapa tiri yang diharapkan untuk turut membantu menjaga dan melindungi malah menjadikan kelima-lima anak wanita terbabit sebagai mangsa nafsu serakahnya tanpa belas kasihan.
Kejadian itu didedahkan oleh seorang pengamal undang-undang dikenali sebagai Siti Hajar Pozi di dalam satu sesi audia siar ataupun ‘podcast’ Sembang Wanita Xtra ketika hadir menjadi tetamu jemputan.
Menurut Siti Hajar, ibu kepada mangsa-mangsa itu adalah seorang pekerja kilang yang terpaksa membanting tulang mencari rezeki sehingga sanggup melakukan kerja lebih masa (OT) semata-mata untuk menyara keluarganya.
Oleh sebab itulah kelima-lima anaknya itu ditinggalkan di bawah jagaan suami baharunya yang merupakan seorang penganggur sebelum terjadinya kejadian tidak diingini terhadap mereka.
Perbuatan jijik suaminya itu akhirnya terbongkar apabila salah seorang anaknya mengadu tentang perbuatan bapa tirinya kepada seorang ustazah di sekolah yang kemudian membuat laporan mengenainya.
“Ada seorang ibu ini datang berjumpa saya. Dia berkongsi mengenai lima anaknya yang menjadi mangsa serakah suami yang baru dikahwininya selepas bercerai. Dia akui terlalu sibuk mencari rezeki.
“Tanpa sedar, anak-anaknya telah menjadi mangsa suami barunya. Perbuatan akhirnya terbongkar selepas anaknya bercerita dengan seorang ustazah di sekolah. Ustazah itu kemudian tampil membuat laporan.
“Si ibu jadi terkejutlah. Rupa-rupanya, ada anaknya yang sudah mula diperkosa daripada umur 8 tahun lagi,” kongsi Siti Hajar di dalam satu sesi audio siar yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan di platform Facebook.
Susulan laporan dibuat, penganggur itu dikatakan sudah didakwa di mahkamah namun kes masih berada dalam proses perbicaraan manakala lima anaknya ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam perkongsian sama, pengamal undang-undang itu turut memberikan nasihat kepada para wanita sebelum mengambil keputusan untuk menikah semula sekiranya sudah memiliki anak dalam perkahwinan terdahulu.
“Sebab itu saya katakan untuk wanita, silalah bahagiakan diri sendiri dan anak-anak dahulu. Jangan dicarikan cinta baharu seolah-olah mahu membalas dendam kepada bekas suami dengan berkahwin lain tanpa periksa latar belakang lelaki itu.” Kesalnya.