Sebanyak 57 peratus pengundi telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sehingga jam 3 petang tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan peratusan itu menerusi Twitter rasminya.
“Statistik keluar mengundi biasa bagi PRI DUN Melaka ke-15 pada jam 3 petang. Peratus keseluruhan 57 peratus,” katanya.
Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmakrudin Ishak berkata, seramai 476,037 orang pengundi mengundi di PRN Melaka.
Menurutnya, sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian dengan seramai 12,290 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian.
Pada 18 Oktober, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR mensasarkan kira-kira 70 peratus daripada pengundi yang layak akan keluar mengundi.
Katanya, sasaran itu agak rendah berbanding jumlah biasa pada pelaksanaan pilihan raya sebelum ini dengan mengambil kira tempoh pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
Seramai 112 calon layak bertanding, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Daripada jumlah itu, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).
Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula, menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Sembilan DUN pula menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.
DUN yang menyaksikan pertandingan empat penjuru ialah Kuala Linggi, Durian Tunggal, Sungai Udang, Bukit Katil, Ayer Molek, Bandar Hilir, Telok Mas, Serkam dan Sungai Rambai.
Gelanggang PRN tiga penjuru pula di DUN di Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Pantai Kundor, Kelebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Rim dan Merlimau.