5G mampu majukan produk, perkhidmatan kewangan

Oleh MALAYSIADATELINE

Mobiliti akan menjadi penggubah utama dalam industri perbankan serta perkhidmatan kewangan, memandangkan ianya boleh dimajukan dengan tiga keupayaan baharu dalam teknologi 5G.

Cadangan tersebut datang daripada laporan yang disediakan oleh Pasukan Petugas 5G Kebangsaan (Pasukan Petugas 5G) yang terletak di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang dikeluarkan hari ini.

“Dengan memanfaatkan Komunikasi Ultra dan Kependaman Rendah 5G (uRLLC) serta keupayaan Jalur Lebar Mudah Alih yang Dipertingkat (eMBB), institusi kewangan boleh menyampaikan pengalaman perbankan digital yang lancar kepada pelanggan termasuk akses aktiviti perbankan dari mana sahaja, sama ada melalui pegawai sebenar atau dengan penasihat robotik (automatik, berasaskan algoritma perancangan kewangan),” katanya.

Pasukan Petugas itu menambah, keupayaan 5G juga akan mampu menarik urus niaga mudah alih memandangkan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kewangan akan memberikan peluang kepada ramai rakyat Malaysia untuk mengembangkan perniagaan mereka, memudahkan perdagangan dan meningkatkan laluan kepada perkhidmatan kewangan.

Penanggung insurans kesihatan dan hayat juga akan dapat membuat keputusan yang lebih termaklum dan tepat melalui perkongsian data yang didayakan 5G, katanya.

“Oleh itu, sektor perbankan dan kewangan akan mendapat manfaat daripada ketiga-tiga keupayaan 5G ini. uRLLC akan membolehkan tindak balas dan kawalan masa nyata, eMBB membenarkan kadar kelajuan data yang lebih pantas dan mMTC membolehkan sambungan yang kukuh antara sejumlah besar peranti,” kata laporan itu.

— BERNAMA