61% kluster tempat kerja dikesan minggu pertama PKP 3.0

Oleh Oleh FAZLI RADZI

Sebanyak 106 daripada 173 kluster baharu iaitu 61 peratus kluster tempat kerja dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tujuh hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Sementara itu, 25 peratus lagi iaitu 44 kluster komuniti dilaporkan sepanjang tempoh yang sama serentak dengan pola peningkatan kes sporadik Covid-19.

Hari ini sahaja, 16 kluster tempat kerja daripada 23 kluster kesemuanya dikesan dengan tertinggi di Selangor dan Johor masing-masing empat kluster.

Daripada 16 kluster itu, Kluster Dah Ria Jaya merangkumi daerah Kuala Muda, Baling, dan Sik telah mencatat kes positif Covid-19 tertinggi dengan 58 daripada 504 individu yang disaring.

Kluster membabitkan pekerja-pekerja sebuah kilang di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kuala Muda ini bermula dengan kes indeks seorang wanita yang mengalami gejala bermula pada 28 Mei.

Semakan juga mendapati Kluster Jalan Perindustrian Tujuh di Tangkak dan Muar, Johor merekodkan jumlah saringan tertinggi sebanyak 809 orang. Walau bagaimanapun, hanya 25 individu dikesan positif Covid-19.

Kluster ini dikenalpasti hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja-pekerja kilang di Jalan Perindustrian 7, Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, Tangkak.