61 peratus keluar undi setakat 4 petang

Oleh ARIF ATAN

Sejumlah 61 peratus pengundi sudah menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, setakat 4 petang tadi.

Perkembangan tersebut dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 217 pusat pengundian membabitkan 1,109 saluran bagi memilih 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu dibuka di antara jam 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Terdapat 495,186 pemilih berdaftar dalam PRN Melaka dengan 476,037 daripadanya merupakan pengundi biasa manakala 11,557 pengundi awal.

Pada 18 Oktober, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR mensasarkan kira-kira 70 peratus daripada pengundi yang layak akan keluar mengundi.

Katanya, sasaran itu agak rendah berbanding jumlah biasa pada pelaksanaan pilihan raya sebelum ini dengan mengambil kira tempoh pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

Seramai 112 calon layak bertanding, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Daripada jumlah itu, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula, menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN pula menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

DUN yang menyaksikan pertandingan empat penjuru ialah Kuala Linggi, Durian Tunggal, Sungai Udang, Bukit Katil, Ayer Molek, Bandar Hilir, Telok Mas, Serkam dan Sungai Rambai.

Gelanggang PRN tiga penjuru pula di DUN di Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Pantai Kundor, Kelebang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Rim dan Merlimau.