9 daripada 10 pengundi muda dipengaruhi pilihan ibu bapa dalam pilihan raya, kata Ilham Centre

Oleh KIM SYAZIE

Dengan pertambahan jumlah pengundi muda berusia 18 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, pola pengundian kelompok ini diakui sukar dijangka terutama berhubung ‘kecenderungan’ terhadap parti politik.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, pengundi muda berusia 18 tahun termasuk dalam kelompok yang sangat rapuh (fragile).

Kata Hisommudin, pada awalnya kajian daripada beberapa pusat penyelidikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 mendapati kecenderungan anak muda bergantung pada populariti individu.

Kesimpulan itu diperkukuhkan lagi apabila sosok bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diangkat sebagai ikon anak muda.

Atas populariti yang besar, parti Muda kemudian ditubuhkan dan parti itu dijangka mampu mencuri sokongan anak muda.

Menjelang pilihan raya, pereka grafik satira, Fahmi Redza pula menjadi ikon anak muda di Twitter dan dilihat aktif menggerakkan kempen kampus ke kampus, serta mengadakan kelas demokrasi.

Dalam tempoh berkempen, kelas demokrasi Fahmi Redza menjalankan satu ‘polling’ untuk melihat pola pengundian mahasiswa.

Menerusi undian itu, Pakatan Harapan antara parti yang menjadi pilihan.

Bagaimanapun menurut beliau, dalam kajian yang dijalankan menggunakan kaedah (method) ‘Focus Group Discussion’, pihaknya mendapati majoriti 9 dari 10 anak muda masih dipengaruhi pilihan ibu bapa dalam mengundi calon bertanding.

‘Focus Group Discussion’ (FGD) adalah satu kaedah yang digunakan para penganalisa lapangan dengan cara mengumpulkan beberapa individu menjadi satu kumpulan dan membahas sesuatu topik tertentu yang spesifik.

Umumnya, pemerhati akan mengambil satu kesimpulan dari topik yang telah dibincangkan.

“Dalam pertemuan dengan anak muda di kampus dan kampung, kami dapati kelompok ini majoritinya 9 daripada 10 orang, hampir semua tidak ada pemahaman politik yang betul-betul jelas dan faham.

“Bagaimana mereka mengundi? majoriti mengatakan bahawa dipengaruhi oleh pilihan ibu bapa kerana masih lagi dibiaya dan mendapat duit dari ibu bapa,” katanya memetik laporan Harapan Daily.

Mengulas tentang calon perdana menteri yang menjadi pilihan anak muda, mereka didapati lebih memilih sosok ‘Abah’ yang merujuk kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Ilham Centre membuat kesimpulan, pemikiran sebegitu terbentuk kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, ‘Abah’ antara individu yang hadir dalam maklumat pemikiran mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menjadi individu yang tidak popular dalam kelompok anak muda.

“Ini kerana mereka tak ada momen penting dengan Anwar dalam garis hidup mereka.

“Tapi bagi anak muda, Abah beri pengaruh besar kepada perjalanan hidup mereka,” jelasnya lagi.

Baca juga : Surat terbuka Hadi ‘backfire’ diri lepas salahkan pengundi Islam tak keluar mengundi