Keputusan Pakatan Harapan (PH) memberi laluan buat parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abd Rahman bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dianggap sebagai tindakan berani dalam merealisasikan gagasan ‘Khemah Besar’.
Pemerhati politik, Datuk Mazlan Aliman berkata, kesediaan PKR yang turut melepaskan tiga kerusi kepada MUDA sekaligus memberi 9 kerusi untuk ditandingi, bakal menguji kemampuan MUDA sebagai parti ‘anak muda’.
Katanya, kerusi yang diperuntukkan kepada MUDA bertepatan dengan undi 18 tahun yang pertama kali akan berjalan di Johor.
“Kerusi DUN Puteri Wangsa yang terletak di Parlimen Tebrau adalah contoh kerusi Gred AA yang sepatutnya merupakan kerusi AMANAH hasil kesepakatan pembahagian kerusi dalam PH.
“Menyerahkan kerusi yang amat berpotensi menang adalah langkah berani buat AMANAH kerana ia kerusi idaman sejak PRU-14 yang pada akhirnya ditandingi oleh Bersatu melalui calonnya, Mazlan Bujang (menang dengan majoriti besar 24,959 undi).
“Saya katakan ia langkah berani kerana keputusan ini menimbulkan ‘rasa tidak puas hati dan amarah’ ahli parti kerana difahamkan AMANAH mempertaruhkan, Speaker DUN Johor yang juga Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat sebagai calon,” katanya dalam satu respon kepada Malaysia Dateline.
Pada masa sama, Mazlan yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkata, bukan mudah bagi PH melepaskan kerusi menang pada PRU-14 seperti DUN Tenang, DUN Bukit Kepong, dan DUN Bukit Permai selain DUN Puteri Wangsa.
Justeru beliau melihat tindakan ini sebagai pengorbanan besar untuk gagasan khemah besar.
“Dan ia bakal menguji sejauh mana MUDA mampu membuktikan kehadirannya dalam khemah besar PH dan berupaya memberi tentangan sengit buat Barisan Nasional, berbanding laluan mudah di PRN Melaka dan Sarawak,” ujarnya