Isu bendera putih nampaknya betul-betul menggelisahkan Pas seolah-olah ianya satu penderitaan yang tidak tertanggung. ‘Gelisah, inikah dia getaran jiwa, bergema menyiksa dada, aku derita’ merupakan antara lirik lagu gelisah, dendangan Ahmad Jais.
Agaknya begitulah yang dideritai para pemimpin Pas berkaitan dengan bendera putih. Bayangan yang menghantui kehidupan Pas seolah-olah ‘hantu jerangkung’ yang sedang bergentayangan menghambat para pemimpin parti Islam itu.
Pelbagai komen dapat dikesan, dilontarkan oleh para pemimpin Pas, antaranya: ‘Kibar bendera putih tindakan kering idea bantu rakyat’.
Sebelum itu awalnya tersebar ulasan ‘angkat tangan berdoa, bukan angkat bendera putih’; Kibar bendera putih bukan budaya orang Kelantan’.
Begitu pun terdapat juga dalam kalangan pimpinan Pas yang menaganggap bendera putih sebagai propaganda politik untuk membina persepsi negatif terhadap kerajaan.
Mungkin berdasarkan perkiraan ini juga, Mahiaddin Md Yasin atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri telah melepaskan ulasannya, ‘Tak payah naik bendera putih ke hitam… nak naik bendera biru tak apa’.
Pas paling galak menentang inisiatif bendera putih
Apa yang menjadi persoalan di sini, pihak yang begitu terkesan dan begitu galak menghamburkan pelbagai ulasan dan reaksi berkaitan dengan bendera putih datangnya daripada pimpinan Pas.
Tetapi tidak pula kedengaran ulasan bersifat penolakan terhadap fenomena bendera putih daripada Bersatu, Umno atau parti-parti lain dalam kerajaan PN.
Seolah-olah bendera putih adalah ‘puaka lubuk kawah’ yang sedia menenggelamkan Pas ke dalam lubuk. Menggambarkan kengerian yang amat sangat, sehingga menjadikan Pas tempang dalam rentak berfikir.
Apa yang ketara, Pas yang sentiasa mendakwa bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan Islam tetapi seringkali memperlihatkan kelemahan dan terbabas dalam berfikir.
Sedangkan Islam itu berkehendakan umatnya sentiasa cemerlang dan mahir dalam berfikir, khususnya dalam perkara-perkara berkaitan dengan usaha mengurus kebajikan umatnya.
Pas melihat segala sesuatu yang datang daripada kumpulan lain yang tidak sefaham dengannya dianggap sebagai ‘remeh’ dan tiada nilai akhlak. Walhal tingkah laku Pas sendiri menggambarkan lemahnya akhlak, moral dan tersasarnya haluan peel perangai.
Bendera putih, secara tidak langsung mendedahkan corak berfikir Pas yang bersifat inside in, bukannya inside out.
Hal ini tentunya memperlihatkan wujudnya unsur kemuflisan jangkauan minda, terperangkap dalam situasi ketakutan dan kebimbangan yang menjadikan Pas terperuk dalam psikologi terasing.
Bendera putih, memperlihatkan Pas terperangkap dalam pemikiran jumud idea dominan, berpaksikan ketundukan terhadap pemikiran kebiasaan.
Umum ketahui bahawa bendera putih dikaitkan dengan tindakan menyerah kalah, pasrah terhadap keadaan sedia ada. Itulah pemikiran biasa yang difahami oleh Pas dalam konteks bendera putih. Tapi hakikatnya menyerah kalah tidak bermakna wujudnya unsur putus asa atau menggadai prinsip, mahupun maruah.
Sebaliknya, menyerah kalah adalah satu kaedah bagaimana untuk terus hidup bagi meneruskan satu perjuangan ke arah kemenangan dan pembebasan daripada kekangan hidup. Berundur setapak untuk terus membina ruang kehidupan baru.
Inilah hakikat yang Pas gagal mentafsirkannya kerana terlalu gusar dan gelisah dengan fenomena bendera putih sehingga mereka lupa untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Pemikiran Pas agak begitu terikat dengan pemikiran politik tegar, tanpa mampu berfikir dalam realiti sosial dan psikologi.
Dalam aspek pemikiran lateral, idea dominan tidak akan kekal sebagai satu idea yang pasif dan statik, sebaliknya wujud tradisi mencabar idea dominan bagi menjana idea baru yang lebih dinamik, proaktif dan orientasi pemecah masalah.
Itulah realitinya di sebalik cabaran dan mengenengahkan bendera putih untuk membolehkan saluran bantuan dipergiatkan kepada pihak yang memerlukan.
Hakikatnya bendera putih, merupakan sesuatu yang tidak perlu digusarkan oleh Pas.
Bendera putih adalah lebih mirip kepada kaedah lain untuk mempercepatkan tindakan atau mempertingkatkan keberkesanan dalam konteks pencapaian objektif penyampaian bantuan secara bersasar.
Dengan kata lain, merupakan ‘jalan lain untuk mencapai kebahagiaan’ melewati kaedah tradisional, sebagaimana yang disarankan Pas ‘sebaran nombor telefon’. Hakikatnya itu satu kaedah dan kaedah lain juga perlu diteroka.
Bendera putih satu gambaran manifestasi berundur seketika untuk menggerak kebangkitan semula.
Bendera putih harus juga dilihat sebagai satu tindakan proaktif untuk kelangsungan hidup, bukan hanya menunggu secara reaktif untuk mendapatkan bantuan.
Satu kaedah menyampaikan isyarat secara terbuka itu lebih kuat daya juangnya, memandangkan mesejnya adalah lebih luas jangkauan liputannya.
Pas sepatutnya tidak terlalu allergic dengan bendera putih memandangkan jubah, kopiah dan serban para pemimpin Pas juga kebanyakannya adalah berwarna putih.
Unsur fobia Pas terhadap fenomena bendera putih, secara tidak langsung memperjelaskan tradisi berfikir dalam kalangan pimpinan Pas yang terlalu kaku.
Keadaan ini menyebabkan proses mental pimpinan Pas menjadi kejung, mengakibatkan para pemimpinnya gagal mentafsir dan memahami unsur tersirat di sebalik naratif bendera putih, sebagai antara kaedah yang boleh digunakan untuk memecahkan masalah jurang komunikasi.
Sepatutnya Pas tidak perlu memberikan reaksi negatif terhadap fenomena bendera putih, apa yang perlu Pas lakukan adalah ‘berungga’ dengan segala bekalan yang ada untuk mendahului orang lain bagi membantu golongan yang terkesan dalam kemelut sosio ekonomi.
Namun atas sifat Pas yang dalam peribadinya tersarang unsur kecurangan adaptasi sosial, menyebabkan
wujudnya pentafsiran bahawa segala cetusan idea, pemikiran dan pandangan pihak lain akan dianggap sebagai di luar daripada kehendak dan kemahuannya. Maka semua itu adalah salah dan perlu dinafikan akan kerelevanannya serta perlu disisihkan.
Itulah psikologi terasing yang menjadi aliran berfikir dalam Pas. Hakikat yang tidak boleh disangkal lagi bahawa Pas merupakan antara pihak yang paling galak dan begitu kerap mencabar idea dominan yang dibentuknya sendiri.
Pilihan Raya
Realitinya, pilihan raya merupakan mekanisma terpenting dalam proses untuk menghidupkan demokrasi, khususnya berhubung dengan tatacara pembentukan sesebuah kerajaan.
Pas telah mencabar idea dominan ini dengan turut terlibat secara langsung dalam langkah Sheraton. Bermakna Pas secara tidak langsung telah menafikan prinsip pilihan raya sebagai satu kaedah untuk mewujudkan kerajaaan dalam konteks amalan demokrasi.
Ini bererti Pas mempunyai kecenderungan untuk membuktikan bahawa terdapat kaedah lain, selain daripada piihan raya untuk Pas terlibat bagi membentuk kerajaan walaupun hanya menang 18 kerusi dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14).
Kaedah King maker yang dilaungkan Pas juga merupakan tindakan di luar idea dominan untuk menguasai kuasa. Pas begitu teruja dengan kaedah ini dan dijaja merata menjelang PRU 14.
Oleh itu, apa rasionalnya untuk Pas mempertikai akan kibaran bendera putih, sebagai antara medium untuk melebarkan isyarat dalam menarik perhatian umum bagi mendapatkan bantuan kelangsungan hidup?
Berdekad lamanya Pas menjadikan Umno sebagai musuh politik yang sengit, pelbagai fatwa dikeluarkan untuk merasional para pengikut Pas bagi menentang Umno. Umno dibayangkan sebagai parti yang tidak Islamik dan menentang Umno sebagai jihad sehingga tercetusnya tragedi Memali dan peristiwa lubuk Merbau.
Itulah idea dominan yang ditanam Pas ke dalam minda para pengikutnya, sehingga sebati mempengaruhi sikap dan tingkah laku serta perangai para penyokong Pas.
Tindakan Pas menjadikan Umno sebagai kumpulan tidak Islamik telah menjadikan para penyokong Pas begitu beremosi memerangi Umno sehingga timbul soal kehalalan sembelihan ‘orang Umno’ kesempurnaan sembahyang berimamkan imam Umno dan kesahihan pernikahan yang dilakukan oleh juru nikah Umno.
Namun, menjelang PRU 14, Pas secara terbuka telah mencabar idea dominannya sendiri dan menjadi semakin akrab sehingga bersedondong di atas satu pentas.
Juga, diberitakan bahawa Umno telah membiayai bantuan kewangan kepada Pas untuk bergerak dalam PRU14.
Terdapat dalam kalangan pimpinan Pas yang mengaku menerima wang daripada Umno.
Keakraban itu, akhirnya dijelma dalam kenyataan, ‘Pas Umno adalah hubungan adik beradik sedarah sedaging yang haram diputuskan’.
Maknanya Pas dengan beraninya telah mencabar idea dominan yang sekian lama ditanam dalam minda para penyokongnya, mutakhir ini Umno bukan lagi musuh Pas. Jadi, bukanlah sesuatu yang salah untuk Pas mencabar idea dominan di sebalik kibaran bendera putih.
Soal Hudud
Begitu juga soal hudud yang merupakan idea dominan dalam konteks matlamat perjuangan Pas. ‘Hudud adalah nyawa kami’, antara ucapan yang terkeluar daripada suara pimpinan Pas.
Bahkan terdapat dalam kalangan pimpinan Pas yang mengingatkan pihak-pihak yang kononnya menentang hudud , matinya nanti akan ditanam ‘di jirat China’.
Begitu signifikannya hudud dalam perjuangan Pas. Namun sebaik sahaja Pas terlibat dengan langkah Sheraton, Pas telah mula mencabar idea dominan ini. Pendirian pemimpin Pas telah memasuki dimensi baru berkaitan dengan perjuangan menegakkan hudud.
‘Hudud ini bukan satu benda besar’. Berdasarkan kenyataan ini bermakna matlamat perjuangan Pas berkaitan dengan hudud bukan lagi bersifat kritikal mutlak. udah menjadi perkara yang hilang keutamaan. Maknanya telah terkeluar daripada idea dominan.
Sekiranya idea-idea dominan ini boleh dicabar oleh Pas, apalah sangat untuk Pas mengubah pemikiran terhadap idea dominan bendera putih, melihat fenomena bendera putih daripada sudut dinamisme kepelbagaian tafsiran dengan matlamat yang berbeza.
Pas, hakikatnya tidak perlu begitu ghairah menafikan akan situasi yang sentiasa berubah dan hakikat sesuatu kaedah yang mempunyai potensi untuk berubah. Pas tidak perlu resah, gelisah dan terikut dengan emosi bimbang serta ketakutan dengan bendera putih, kerana bulan Pas juga adalah berwarna putih.
————–
Penulis ialah Penyelidik Perunding
Human Resource Academy