Nasib graduan semakin membimbangkan ketika pandemik

Oleh KIM SYAZIE

Nasib para graduan tatkala ini amat membimbangkan apabila statistik gaji median golongan graduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menyaksikan penurunan daripada RM4,300 pada tahun 2019 kepada RM3,815 pada tahun 2020.

Lebih membimbangkan, jumlah graduan menganggur meningkat pada tahun 2020 sebanyak 202, 400 atau 4.4 peratus jika dibandingkan dengan jumlah pada tahun 2019 iaitu 165, 200 atau 3.9 peratus.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil, statistik ini secara tidak langsung menzahirkan keadaan ekonomi negara yang semakin parah.

“Jika graduan pun mengalami penurunan gaji, bayangkan pula yang juga terkesan dengan kelembapan ekonomi hari ini. Graduan yang muda terutamanya harus dibantu bagi membolehkan mereka hidup dengan sempurna serta ramai diantaranya tidak mempunyai banyak pilihan dan terpaksa bekerja di sektor yang bukan mengikut kelayakan akademik mereka.

“Maka itu, adalah tidak menghairankan graduan yang dikategorikan sebagai ‘underemployed’ atau bekerja di bidang yang tidak mengoptimumkan kemahiran mereka adalah hampir 1.4 juta individu pada tahun 2020. Ia merupakan peningkatan hampir 300,000 individu hanya dalam tempoh setahun.

“Secara tidak langsung, kemerosotan ini akan memberi impak negatif kepada pendapatan anak muda berpendidikan tinggi dan akan menjejaskan taraf hidup mereka dalam jangka masa panjang. Ia turut tidak membawa makna sekiranya negara mencapai status berpendapatan tinggi, tetapi rakyat yang berpendidikan tinggi tidak dapat menikmati gaji dan kerja yang sesuai dan adil,” ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Faiz, walaupun ekonomi negara merosot ekoran pandemik Covid-19, ia bukannya alasan untuk kerajaan membiarkan perkara ini berterusan tanpa solusi. Kerajaan PN harus merangka strategi jalan keluar kepada masalah ekonomi hari ini.

Katanya lagi, kegagalan kerajaan membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara serius akan menyebabkan lebih banyak syarikat gulung tikar serta ianya mengancam nasib para graduan kerana dianggarkan 40,000 PKS akan menutup syarikat dan perniagaan mereka dalam tempoh PKP 3.0.

Sejajar dengan itu Faiz berkata, kerajaan seharusnya menyuntik lebih fiskal kerajaan ke dalam ekonomi rakyat dengan memberikan subsidi upah bagi memastikan keupayaan majikan membayar gaji setelah perbelanjaan kerajaan sebanyak RM83 bilion dalam keseluruhan pakej rangsangan ekonomi adalah tidak mencukupi dan kerajaan harus berbelanja lebih bagi merangsang ekonomi demi kelestarian hidup rakyat.