Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta kerajaan untuk mendedahkan princian kos pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri demi ketelusan dan akauntabiliti awam ekoran perbelanjaan besar yang menelan sehingga RM38.5 juta.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberi alasan kukuh terhadap penggunaan dana rakyat itu ketika negara menghadapi dua krisis besar iaitu pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
Beliau juga membangkitkan persoalan tentang proses tender diberi sama ada pemberian dibuat secara terus atau terbuka.
“Bagi projek yang telah diluluskan pada 19 Mac tetapi dapat dijalankan hanya sepuluh hari kemudian, menimbulkan persoalan adakah tender terbuka awam telah dilakukan.
“Sekiranya tidak, maka di manakah kepentingannya sehingga protokol perolehan kerajaan tidak dipatuhi?
“Pada ketika kerajaan kekurangan dana, adakah membelanjakan RM38.5 juta untuk pengubahsuaian diperlukan? (walhal) dana tersebut dapat digunakan untuk membina perumahan awam untuk orang miskin, terutama di kawasan bandar,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengubahsuaian Kompleks Seri Perdana dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan selain mahu memastikan imej negara terjaga dalam menyambut tetamu utama negara.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, status pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri itu kini mencapai tahap 60 peratus setakat 31 Ogos lalu.
Menteri Tugas-Tugas Khas Abd Latiff Ahmad pula memaklumkan, bangunan tersebut mengalami banyak kerosakan berikutan usia bangunan itu yang mencecah 22 tahun.
Abd Latiff menyatakan bahawa projek itu telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja telah dimulakan pada 29 Mac 2021 dengan jangkaan siap pada 7 Disember 2021.
Sementara itu Lim mempersoal, apakah jenis pengubahsuaian yang diperlukan itu sehingga mencecah kos yang tinggi.
“Kecuali jika kos tersebut diteliti secara ketat, rakyat berhak untuk bertanya apakah RM38.5 juta tersebut dapat digunakan dengan lebih baik untuk memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih banyak katil ICU, rawatan dan ubat-ubatan yang lebih baik atau bahkan bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan akibat kemelesetan ekonomi,” katanya lagi.