Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) datang lagi dan kali ini semasa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
Secara jujurnya saya tidak membaca keseluruhan dokumen strategi pembangunan yang lebih 500 halaman ini, saya hanya membaca perkara-perkara tertentu daripada perbincangan dan laporan dalam media digital.
Daripada apa yang dibaca ia adalah strategi yang mengambil kira setiap harapan dan keperluan setiap rakyat dalam Keluarga Malaysia dengan matlamat – Makmur, Inklusif dan Mampan – bagi membolehkan setiap ahli Keluarga Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum dapat meningkatkan kesejahteraan dan menikmati taraf hidup yang lebih.
Jika diteliti RMK-12 masih menumpukan kepada usaha membasmi kemiskinan tegar merangkumi inisiatif iaitu menubuhkan unit kemiskinan khusus pada peringkat Persekutuan dan daerah.
Dalam hal ini ia meliputi merangka dasar kemiskinan berdasarkan pendekatan berpandukan data; mewujudkan pangkalan data kemiskinan yang bersepadu dan berpusat; mempertingkat program pendekatan dari bawah ke atas; melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi dan mengkaji potensi pengenalan cukai khusus sebagai sumber pembiayaan bagi program menangani kemiskinan.
Saya berharap RMK-12 ini dengan data yang terdapat memberikan perhatian juga kepada golongan pesara dan yang akan bersara daripada pihak swasta khususnya ketika pandemik di mana lebih ramai kumpulan daripada ini mengalami kemiskinan yang tidak dijangka.
Jangan melupakan kumpulan “the ageing society” dalam pembangunan negara dan menganggap tidak lagi dapat memainkan peranan RMK-12. Jika tidak RMK-12 seperti melupakan sumbangan yang telah mereka lakukan terhadap pembangunan negara.
Realitinya, persediaan untuk persaraan hari ini agak menyedihkan apatah lagi apabila berhadapan dengan pandemik dan persediaan pasca pandemik.
Dengan perbelanjaan hidup yang semakin hari semakin meningkat, banyaklah simpanan yang perlu dikeluarkan bagi menampung perbelanjaaan harian dan bulanan dan ia sangat penting supaya mereka yang bersara tidak
berhadapan dengan kebimbangan.
Jika tida mengharapkan KWSP apakah tabungan lain boleh diharapkan, adakah Tabung Haji dan ASB? Bersandarkan kepada anggaran simpanan golongan pesara, boleh dikatakan majoriti mereka tinggal dalam kemiskinan mutlak dan lebih buruk lagi ketika berada di ujung usia.
Ini masih tidak mengira keadaan keluarga mereka dan jika mengalami kesakitan serius. Jika diteliti di negara kita sedang berhadapan dengan suatu kemelut iaitu masalah gaji yang statik dan kadar kenaikan setiap tahun
yang sedikit. Ini antara yang menyebabkan kadar simpanan KWSP yang rendah.
Ini terbukti apabila KWSP sendiri pernah membuat kenyataan bahawa pesara hanya memiliki pendapatan purata RM208 sebulan dan ini adalah daripada kehidupan 20 tahun selepas bersara.
Keadaan inilah yang membawa kalangan mereka yang telah bersara terpaksa bekerja lagi contohnya sebagai pengawal keselamatan di bank, kilang dan pejabat swasta.
Saya tidak tahu apakah dalam RMK-12 persoalan golongan pesara diambil kira. Jika tiada pengawal di pintu masuk kilang, kecurian mudah berlaku dan kilang akan rugi di mana kerajaan tidak dapat cukai, begitu juga jika tiada penghantar makanan GrabFood atau Food Panda bagaimana rakyat Malaysia yang takutkan ancaman virus Covid-19 hendak mendapat pesanan makanan mereka.
Oleh itu jangan abaikan golongan pesara dan mereka yang bekerja dalam ekonomi Gig ini. Sudah masanya refomasi dalam sistem persaraan dinilai semula dengan mekanisme baharu dalam meningkatkan dana dalam
tabung persaraan.
Walaupun ia boleh dihujah terkandung konteks pembasmian kemiskinan, namun ia harus diutarakan dan
dibincangkan di sidang Dewan Rakyat.
Apa yang penting ia melibat sistem persaraan yang tidak sesuai dengan keadaana semasa. Kerajaan harus pastikan reformasi sistem persaraan yang memberi manfaat kepada majoriti daripada memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja.
Di samping itu mereka harus mendapat perkhidmatan kesihatan percuma bagi mengidapi penyakit kritikal dan contoh seperti baucar makanan perlu disediakan kepada mereka.
Situasi “Third-Age Economy” tahun lalu sahaja menunjukkan dua daripada tiga ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.
Paling membimbangkan, separuh dari ahli KWSP yang berumur lebih daripada 55 tahun berpotensi menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh lima tahun selepas persaraan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata secara keseluruhan hanya 34 peratus pencarum aktif KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.
Untuk rekod, sehingga kini KWSP mempunyai 14.6 juta pencarum aktif dan 530,000 majikan dengan jumlah dana yang diuruskan sebanyak RM940 bilion.
Pembaharuan harus merangkumi perubahan-perubahan dalam persekitaran kerja seperti mereka yang terpaksa kerja setelah bersara, pekerja ikut bayaran jam, pekerja-pekerja ekonomi gig, kerja bebas dan perniagaan mikro terutamanya ketika pandemik harus diberikan perhatian.
Apakah terdapat skim selain KWSP, seperti skim persaraan di bawah bank-bank, dana pelaburan awam yang masih tinggi bayaran bulanannya dan tidak mampu dibayar oleh golongan berpendapat sedarhana dan tendah.
Dalam hal ini KWSP masih relevan. Skim-skim swasta ini memainkan peranan kecil berbanding kebanyakan mereka yang bersara berada dalam rangkuman wang persaraan yang masih tidak mampu untuk mandiri.
Tambahan pula golongan pesara yang terikat dengan komitmen-komitmen lain tentu akan berhadapan dengan situasi lebih parah. Kerajaan harus memberikan perhatian kepada sistem persaraaan baharu yang mengutamakan perlindungan kepada mereka sebelum bersara.
————–
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).