PRN Melaka: Calon, parti politik digesa tangani lompat parti

Oleh ARIF ATAN

BERSIH 2.0 menggesa parti politik atau calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berikrar untuk menggubal enakmen mengawal lompat parti dan akauntabiliti politik sebagai manifesto mereka.

Pengerusinya, Thomas Fann, berkata perkara tersebut bagi memastikan tidak berlaku tindakan lompat parti selepas PRN.

Tegasnya, demi memperkasa ‘ketuanan’ pengundi’, langkah itu mustahak bagi memecat wakil rakyat yang melompat parti sehingga mengakibatkan berlakunya ketidakstabilan kerajaan.

Dalam agenda itu, katanya, wakil rakyat yang melompat atau dipecat parti kerana perbezaan politik atau mengejar kepentingan peribadi akan dihakimi oleh rakyat, sama ada mereka harus dipecat atau dikekalkan melalui petisyen.

Walaupun memorandum persefahaman politik terjalin di antara kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH), beliau berkata, itu masih tidak dapat menstabilkan situasi politik selagi pembaharuan institusi politik dan demokrasi di negara ini tidak diangkat sebagai undang-undang pada peringkat Persekutuan serta negeri.

“BERSIH 2.0 menggesa agar calon dan parti politik yang akan bertanding dalam PRN Melaka untuk mengumumkan manifesto pilihan raya mereka dan dasar serta undang-undang yang akan digubal oleh mereka, sekiranya berkuasa untuk menyelesaikan kemelut politik akibat lompat parti.

“Ini termasuk kemelut politik akibat ketidaktentuan sokongan majoriti ketua menteri yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan, kestabilan politik dan menghakis sistem demokrasi negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agenda pindaan Perlembagaan negeri dan peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dimasukkan dalam manifesto.

Jelasnya, pindaan tersebut bagi mewajibkan undi pengesahan keabsahan untuk ketua menteri selepas pelantikan sama ada selepas pilihan raya atau pada pertengahan penggal.

Menurutnya, agenda ketiga ialah meminda Perlembagaan negeri dan peraturan mesyuarat DUN untuk memperkenal undi tidak percaya secara konstruktif.

Thomas berkata, pindaan itu menetapkan ketua menteri tidak dapat dijatuhkan kecuali jika undi tidak percaya juga mengandungi nama penggantinya diluluskan dengan majoriti mudah dan tiada pilihan raya baharu diperlukan, jika ketua menteri baharu dapat digantikan dengan kaedah sedemikian.

“Agenda keempat, menggubal enakmen peruntukan pembangunan kawasan untuk memastikan peruntukan diberikan secara sama rata dan saksama kepada semua wakil rakyat, sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Kelima, menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan dengan komposisi jawatankuasa yang mencerminkan nisbah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan EXCO setiap parti dalam DUN dan menjamin penyertaan kedua-dua ADUN barisan kerajaan serta ADUN pembangkang dalam membentuk dasar pentadbiran kerajaan negeri,” jelas Thomas lagi.